AntarabangsaIsu Semasa

China Nafi Laporan Kekejaman Terhadap Uighur Oleh Media Barat

Duta China ke United Kingdom menolak laporan media Barat mengenai dasar kerajaan China di Xinjiang, mengatakannya sebagai “berita palsu”.

“Saya boleh menafikan tiada dokumen seperti itu. Ia hanyalah berita palsu,” jelas Duta Besar Liu Xiaoming apabila ditanya di London mengenai artikel New York Times berkaitan dokumen kerajaan China yang bocor.

Aktivis Bangsa-Bangsa Bersatu mengatakan sekurang-kurangnya 1 juta etnik Uighur dan anggota kelompok minoriti Muslim lain telah ditahan di kem di wilayah barat Xinjiang dalam tindakan keras yang telah dikutuk oleh Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

Beijing menafikan sebarang perlakuan buruk terhadap Uighur atau etnik lain di Xinjiang dan mengatakan ia menyediakan latihan vokasional untuk membantu menghilangkan ekstremisme dan separatisme Islam dan mengajar kemahiran baru.

Sabtu lalu, New York Times melaporkan satu dokumen kerajaan China yang bocor mendedahkan butiran kekejaman terhadap Uighur dan etnik Islam lain di rantau Xinjiang di bawah Presiden Xi Jinping.

Dokumen-dokumen yang didakwa dibocorkan oleh “seorang ahli politik China”, menunjukkan bagaimana Xi memberi ucapan dalaman kepada pegawai-pegawai semasa dan selepas lawatan ke Xinjiang pada tahun 2014 berikutan serangan oleh militan Uighur di sebuah stesen kereta api yang membunuh 31 orang.

Laporan itu berkata Xi menyeru perjuangan “habis-habisan terhadap keganasan, penyusupan, dan separatisme menggunakan teknik diktator dan tidak memberikan belas kasihan.”

Dokumen-dokumen tersebut menunjukkan ketakutan pemimpin China meningkat kerana serangan militan di negara-negara lain dan pengunduran tentera AS dari Afghanistan.

Dokumen-dokumen itu menunjukkan bagaimana pegawai-pegawai menjelaskan kepada pelajar-pelajar universiti bahawa ahli keluarga mereka telah diambil untuk latihan, dan bagaimana program ini ditentang oleh beberapa pegawai tempatan.

Ia juga menunjukkan kem-kem tahanan itu berkembang dengan cepat selepas Chen Quanguo dilantik pada Ogos 2016 sebagai ketua parti di rantau itu.

Ia tidak jelas bagaimana dokumen-dokumen berjumlah 403 muka surat, telah dikumpulkan dan dipilih, lapor akhbar itu.

Kementerian Luar China tidak menafikan kesahihan dokumen terbabit tetapi berkata laporan New York Times adalah “penafsiran selektif” yang “pekak dan buta terhadap fakta-fakta lain.”

“Orang ramai di Xinjiang dengan sepenuh hati mematuhi langkah China untuk mengekalkan kestabilan. China tidak akan menunjukkan belas kasihan kepada pengganas dan tidak akan memperjudikan keselamatan negara,” kata jurucakap Kementerian Luar, Geng Shuang.

Akhbar Global Times yang dikendalikan oleh kerajaan menyatakan dalam sebuah editorial pada hari Isnin bahawa laporan itu “tidak mempunyai moral” dan menuduh beberapa orang di Barat sebagai “batu api yang memburukkan keadaan”.

Ia berkata China telah mengambil “langkah tegas” di rantau Xinjiang untuk memastikan ia tidak menjadi seperti Republik Chechnya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button