AntarabangsaIsu Semasa

Indonesia Cuba ‘Satu Hari Tidak Makan Nasi’ Untuk Lebih Sihat

Nasi merupakan makanan wajib bagi setiap individu di Indonesia sehingga restoran makanan segera seperti McDonalds dan KFC wajib menyajikan nasi jauh sebelum Malaysia mengambil langkah yang sama.

Ia adalah seperti hal yang janggal jika seseorang tidak makan nasi jika anda di Indonesia namun perkara ini sedikit sebanyak semakin berubah apabila ramai yang lebih ingin mengawal pemakanan demi kesihatan.

Apatah lagi dengan sambutan hari kesedaran kencing manis dunia, pelbagai inisiatif untuk mengurangkan pengambilan gula dan karbohidrat dilakukan.

Salah satunya ialah pergerakan untuk tidak makan nasi. Pergerakan yang dilancarkan di mesia sosial ini juga disokong oleh kerajaan tempatan termasuk negeri kebudayaan, Yogyakarta.

Di Yogyakarta, mereka menggalakkan penduduk untuk tidak memakan nasi sekurang-kurang satu hari dalam satu minggu.

 

Kerana Kencing Manis, Terpaksa Ucapkan ‘Selamat Tinggal Nasi’

Seorang wanita yang terkena penyakit kencing manis berkongsi kepada AFP apabila dirinya harus melupakan pengambilan nasi kerana penyakitnya itu.

“Semasa minggu pertama saya tanpa nasi, saya rasa saya seperti dirasuk hantu,” kongsi Mirnawati, 34 tahun yang kini sudah empat bulan terbiasa dengan diet tanpa nasi dan tidak mahu lagi memakannya.

Nasi yang memiliki serat serta vitamin yang tinggi memiliki kebaikan untuk tubuh manusia tetapi apabila seseorang tidak mengambilnya secara berpatutan, ia akan menyebabkan peningkatan gula dalam darah.

 

Indonesia & Sejarah “Paksaan” Nasi Dalam Kehidupan

Menurut pakar sejarah, Indonesia sebenarnya memiliki legasi politik yang berkaitan dengan beras serta nasi. Ia berawal daripada pemerintahan Suharto yang mahu menjadikan nasi sebagai makanan ruji negara.

Program yang bermula pada tahun 1970an ini telah berjaya membuat populasi negara besar ini melupakan beberapa makanan ruji mereka yang lain seperti jagung dan ubi.

Kerajaan pimpinan Suharto telah mengutarakan mesej status sosial kepada sesiapa yang memakan nasi.

“Rakyat diberi bayangan bahawa memakan nasi adalah lebih sihat dan memberi status sosial yang lebih tinggi serta memiliki rasa yang lebih baik daripada makanan ruji yang lain,” kata Anhar Gonggong, sejarahwan di Institut Sains Indonesia.

Kini Indonesia bukan hanya pengeluar nasi untuk rakyatnya tetapi harus mengimport nasi untuk menampung permintaan tempatan.

 

Sukar Untuk Hidup Tanpa Nasi

“Kesukaran untuk hidup tanpa nasi bukan hanya terletak pada perut kami tetapi juga di fikiran kami yang telah hidup dengan fikiran bahawa kita tidak akan kenyang jika tidak makan nasi,” kongsi Ilhamsyah, 47 tahun dari Jakarta.

Kini Indonesia mahu mengubah semula dasar berdekad ini untuk meyakinkan penduduk bagi mengurangkan pengambilan nasi tetapi bagi pihak berwajib, perkara ini tidaklah semudah yang disangka dan mungkin akan mengambil masa berdekad juga lamanya.

“Kami sedang menggalakkan orang ramai untuk menukar pola pemikiran mereka bahawa nasi bukanlah satu-satunya sumber karbohidrat kerana kita masih memiliki makanan ruji yang lain,” kata Agung Hendradi, ketua agensi pemakanan di Kemeterian Pertanian.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button