Bisnes & Ekonomi

Dari Kerja Kutip Sampah, Kini Beliau Bergelar Jutawan

Tidak ada apa yang mustahil. Kata-kata mutiara ini persis melambangkan apa yang dilalui Mohamad Azlan Al Amin yang kini berjaya bergelar jutawan setelah menempuh pelbagai ranjau-ranjau kehidupan.

Mohamad Azlan, 32 tahun ini pernah menjadi pengutip sampah di bawah kontraktor untuk Tentera Udara Diraja Malaysia yang berpangkalan di Gong Kedak, Kelantan.

Pada waktu itu dia akan membawa pulang sisa makanan yang masih boleh dimakan dari kantin untuk dibawa pulang untuk keluarganya makan.

Begitulah cerita yang sempat dikongsikannya semasa pelancaran sebuah buku tentang dirinya.

Pelancaran buku ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’ yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Mazan Ismail bersama Mohamad Azlan Al Amin

“Kehidupan pada tahun 2005 itu adalah sangat sukar. Kami sangat miskin, dan hasil daripada sebuah kajian yang dilakukan, keluarga saya merupakan keluarga termiskin di Kampung Tok Raja, Besut,” kenang Mohamad Azlan.

“Saya berazam untuk mengubah hidup saya dan kehidupan keluarga saya dek kerana itu,” kata Mohamad Azlan kepada wartawan.

Pada tahun 2010, setelah cuba untuk menjadi peladang tetapi gagal, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah dan mencari pekerjaan di Jertih.

“Saya hanya ada RM1.30 di dalam poket,” ceritanya sehingga kehidupannya boleh berubah apabila terjumpa seorang individu yang menawarkan kerja sebagai agen hartanah.

Azlan yang kini memiliki syarikatnya sendiri, Azlan A-Amin Properties Sdn Bhd mengalami pengalaman hidup yang cukup hebat tetapi kejayaannya sudah pasti tidak datang bergolek.

Semuanya adalah berkat ketekunan, rajin bekerja, tidak cepat berputus asa dan sentiasa mendahulukan Tuhan serta tidak melupakan ibubapa. Perkara-perkara ini adalah perkara asas yang baginya telah menjadikan dirinya sekarang.

“Jadikan kemiskinan sebagai motivasi dan kekayaan sebagai inspirasi. Setelah kita kaya, jangan pula lokek untuk membantu orang lain.

Dikala kita susah, jangan pernah lupa tentang Allah, sentiasa bersedekah dan bersyukur. Hargailah segala pengorbanan yang ayah dan ibu kita telah lakukan,” kata Mohamad Azlan yang melancarkan buku Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan di Perpustakaan Negara di awal bulan ini.

Azlan yang merupakan anak ke-enam daripada 12 adik beradik ini berharap buku ini akan menginspirasikan lebih ramai belia di luar sana.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button