Hiburan

Sitkom Popular “Friends” Mungkin Kembali Semula Selepas 25 Tahun

Dua puluh lima tahun telah berlalu selepas enam rakan ikonik muncul di NBC menerusi drama bersiri “Friends” dan nampaknya mereka kini bakal kembali bersama.

Hollywood Reporter mendedahkan bahawa perbincangan sedang berlangsung untuk reunion khas “Friends” yang akan membawa kembali enam pelakon utamanya iaitu Courteney Cox, Jennifer Aniston, Lisa Kudrow, David Schwimmer, Matthew Perry dan Matt LeBlanc serta penerbit David Crane dan Marta Kauffman.

Sumber-sumbernya menekankan bahawa tiada perjanjian telah dimeterai untuk masa ini, tetapi menjelaskan bahawa kesanggupan kesemua pelakon dan penerbit untuk bekerjasama sekali lagi adalah satu langkah besar ke depan.

Berita untuk penyatuan semula “Friends” tersebar kurang sebulan selepas Jennifer Aniston berkongsi foto pertemuannya bersama keenam-enam pelakon sitkom itu sebagai foto rasmi pertamanya di Instagram.

HBO Max dan Warner Bros. Television enggan mengulas mengenai laporan tersebut, tetapi ia datang beberapa bulan selepas HBO Max memperoleh perjanjian untuk siri asal “Friends”.

Related image

“Friends” yang disiarkan selama 10 musim di NBC dari 1994 hingga 2004, telah ditayangkan dalam talian melalui platform penstriman video Netflix sejak Januari 2015.

Walau bagaimanapun, perkhidmatan streaming WarnerMedia yang baru HBO Max telah memperoleh hak untuk “Friends” pada bulan Julai, sekaligus menggugurkan hak Netflix yang akan berakhir pada hujung tahun 2019 dan HBO Max dijadualkan untuk dilancarkan pada Mei 2020 .

HBO Max membayar US$ 85 juta setahun dalam perjanjian lima tahun untuk hak penstriman bernilai AS$ 425 juta, setelah Netflix membayar sejumlah antara US$ 80 juta dan AS$ 100 juta untuk menyimpan “Friends” dalam platform mereka untuk tahun 2019 .

Sumber mendakwa bahawa pengerusi WarnerMedia Entertainment Bob Greenblatt adalah “penggerak” dalam mendorong penyatuan semula “Friends”.

Pelakon dan penerbit “Friends” telah berkeras selama bertahun-tahun bahawa penyatuan semula atau reboot drama itu tidak akan berlaku.

Penyatuan semula sitkom yang paling digemari sepanjang masa itu pastinya akan menjadi nilai tambah untuk perkhidmatan streaming HBO Max, walaupun ia masih jauh dari berlaku.

Laporan ini juga datang selepas Warner Bros. Television meraikan ulang tahun ke-25 drama bersiri terbabit dengan beberapa sambutan luar biasa.

Sambutan itu merangkumi kemunculan kedai kopi Central Perk yang popular menerusi sitkom itu, tayangan khas dan replika sofa “Friends” muncul di mercu tanda secara rawak di seluruh dunia.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button