AntarabangsaIsu Semasa

Perdagangan Daging Anjing Semakin Berleluasa di Kemboja

Pedagang daging anjing semakin berleluasa di Kemboja, membunuh ribuan haiwan itu dalam sehari menerusi perniagaan tersembunyi yang mendedahkan mereka kepada risiko penyakit maut seperti rabies.

Khieu Chan mengalirkan air mata ketika menggambarkan pekerjaannya yang mengerikan. Dia membunuh enam ekor anjing setiap hari dengan kejam.

“Tolong maafkan saya. Sekiranya saya tidak melakukan ini, saya tidak boleh memberi makan kepada keluarga saya,” kata Chan yang berusia 41 tahun itu kepada 10 ekor anjing yang menunggu nasib mereka di dalam sangkar.

Merupakan sumber protein yang murah, daging anjing masih dimakan di beberapa negara Asia, termasuk di China, Korea Selatan, Vietnam dan komuniti bukan Islam di Indonesia.

Aktivis kebajikan haiwan mengatakan pengambilan daging anjing sebagai makanan telah merosot apabila kelas menengah telah berkembang dan lebih ramai orang memiliki anjing sebagai haiwan peliharaan.

Tetapi perdagangan kejam itu telah berleluasa secara tersembunyi di Kemboja di mana penyelidikan baru menunjukkan perniagaan yang semakin berkembang itu melibatkan pemburu anjing, rumah penyembelihan yang tidak berlesen dan banyak restoran di bandar-bandar yang menjual “daging istimewa”.

Kira-kira dua hingga tiga juta anjing disembelih setiap tahun di Kemboja, menurut NGO Four Paws, yang mengenal pasti lebih daripada 100 restoran yang menjual daging anjing di ibu negara Phnom Penh dan kira-kira 20 lagi di kota kuil Siem Reap.

“Ia adalah perdagangan besar-besaran,” kata Katherine Polak, seorang doktor haiwan yang berpangkalan di Thailand yang bekerjasama dengan NGO yang baru-baru ini membentangkan penemuan kepada kerajaan.

Penunggang motosikal membawa periuk, kuali dan alat memasak di utara Kemboja untuk ditukar dengan anjing yang tidak diingini, memuatkan mereka ke dalam sangkar di bahagian belakang dan membuat penghantaran kepada perantara.

Anjing hidup bernilai US$ 2 hingga US$ 3 (RM8 hingga RM12) sekilogram, mendorong para pembekal untuk mengumpul seberapa banyak yang mungkin.

Penyelidik mengatakan perdagangan daging anjing adalah krisis kesihatan awam kerana ia membawa haiwan yang berpotensi dijangkiti di seluruh negara.

Kemboja mempunyai salah satu daripada kadar insiden tertinggi rabies di dunia dan kebanyakan kes adalah dari gigitan anjing. Perdagangan juga menjejaskan usaha imunisasi anjing dengan membuang dan membunuh anjing yang divaksinasi.

Rumah penyembelihan tidak mempunyai peraturan keselamatan kerana mereka tidak diawasi oleh kerajaan, dan pekerja tidak memakai alat perlindungan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button