MalaysiaPolitik

Berita Palsu Mula Cemarkan Kempen Tanjung Piai

Berita palsu telah mula menular dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai dan ahli-ahli politik dari semua pihak telah memberi amaran kepada pengundi agar tidak terpengaruh dengan berita palsu yang tersebar.

Terdapat tuduhan bahawa pihak atau individu tertentu menyebarkan berita palsu untuk menjatuhkan lawan mereka.

Setakat ini, polis telah menerima 24 laporan polis berhubung isu-isu yang berkaitan dengan pilihan raya kecil yang akan berjalan pada Sabtu ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata hanya tiga kertas siasatan telah dibuka.

Beliau berkata tiada penangkapan telah dibuat dan kempen berlangsung tanpa sebarang kejadian yang negatif.

“Setakat ini tidak ada laporan mengenai rusuhan dan pergaduhan antara penyokong parti-parti yang bertanding walaupun kempen semakin agresif.

“Saya berharap semua pihak yang terlibat akan mendapatkan permit polis terutamanya apabila mereka bergerak secara beramai-ramai supaya kami dapat membekalkan anggota kami untuk memastikan aliran lalu lintas yang lancar,” katanya.

Kamarudin berkata, salah satu daripada laporan terbabit yang didakwa membuat kenyataan palsu yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub yang disiasat mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Satu lagi kes melibatkan calon Barisan Nasional yang telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, katanya.

“Terdapat satu laporan mengenai kenyataan yang dibuat oleh presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataannya tentang pembebasan seorang wanita yang menyebabkan kematian lapan pelumba remaja di Johor Baru pada 2017,” katanya kepada pemberita.

PRK Tanjung Piai adalah pertarungan enam penjuru di antara calon PH Karmaine Sardini,calon Barisan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam dari Gerakan, Pan Malaysian Islamic (Berjasa) Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas – Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan Ang Chuan Lock .

Wee yang merupakan calon MCA telah menggesa pengundi di Tanjung Piai untuk tidak mempercayai berita palsu yang disiarkan di media sosial.

“Orang ramai harus mengesahkan berita terlebih dahulu. Saya juga telah menjadi mangsa beberapa berita palsu tetapi bernasib baik kerana saya mempunyai pasukan media saya sendiri yang dapat mengatasinya,” katanya.

Karmaine dari Bersatu berkata bahawa beliau tidak akan membenarkan berita palsu mempengaruhinya secara mental atau emosi.

“Saya tidak benar-benar mengawasi berita palsu yang tersebar tetapi saya menyedari bahawa ada beberapa berita palsu tentang saya.

“Kadang-kadang kawan-kawan atau anggota parti akan menunjukkan kepada saya berita palsu ini tetapi saya tidak akan mengambilnya dengan serius kerana saya tahu orang ramai boleh membuat penilaian yang rasional,” katanya.

Rang Undang-undang untuk memansuhkan Akta Anti-Berita Palsu telah diluluskan oleh Dewan Rakyat untuk kali kedua pada 9 Oktober dan negara sedang menubuhkan panel parlimen dari kedua-dua parti untuk mengkaji cara-cara menangani berita palsu menggunakan undang-undang semasa atau kaedah alternatif berikutan pemansuhan Akta itu.

Ini termasuk kemungkinan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menghapuskan berita palsu atau ofensif sama ada berkaitan isu perkauman atau agama.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button