Sukan

Malaysian Tigers Gagal Ke Olimpik: Apakah Langkah KHM Seterusnya?

Setelah kekalahan skuad hoki lelaki kepada pasukan Britain pada perlawanan kelayakan kedua, ia sekaligus meleburkan impian Malaysian Tigers untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kekalahan itu adalah yang kedua dialami skuad negara selepas tewas 1-4 pada perlawanan pertama.

Berlangsung di Pusat Hoki dan Tennis Lee Valley, Britain di depan menerusi penalti stroke disempurnakan Alan Forsyth minit ke-9 sebelum Sam Ward meledak jaringan padang dua minit kemudian.

 

“Telah Lakukan Terbaik” Masih Belum Mencukupi

Tidak dinafikan barisan pemain dan jurulatih skuad Malaysian Tigers telah memberikan yang terbaik, ia tidak cukup untuk mengatasi juara tiga kali itu apabila tewas dengan agregat 9-3 pada perlawanan timbal balik pada Sabtu dan Ahad.

Walau bagaimanapun, ramai yang kecewa dengan kegagalan pasukan Malaysian Tigers untuk meraih kelayakan ke pentas itu buat kali kelima berturut-turut selepas RM1.7 juta dibelanjakan dalam tempoh setahun ini.

Bagi bekas kapten negara (1998-2002), Datuk Mirnawan Nawawi yang pernah mewakili Malaysia ke tiga Sukan Olimpik, seluruh sistem dan semua pemegang taruh, termasuk Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), ahli gabungan dan sekolah sukan harus bertanggungjawab di atas kegagalan itu tanpa hanya menuding jari terhadap satu pihak sahaja.

“Kita harus akui bahawa kita sudah gagal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, tak guna kalau kita sedih dan menangis. Kita harus fikir tentang masa depan dengan merancang bagaimana kita nak layak ke Piala Dunia dan Olimpik seterusnya.

“Semua pihak termasuk KHM, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) harus berbincang dan merancang bagaimana kita nak membangunkan hoki. Mereka harus merancang mekanisme yang bakal digunakan supaya sukan ini terus diangkat ke tahap seterusnya,” kata beliau ketika dihubungi Bernama.

 

Harus Lakukan Penambahbaikan Dariapada Akar

Pihak sekolah sukan juga harus bertanggungjawab kerana khilaf dalam menyalurkan pemain lebih berkualiti dalam pasukan kebangsaan, selain meminta Kementerian Pendidikan untuk mengkaji semula keputusan membenarkan pelajar Sekolah Sukan Negeri (SSN) menyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).

“Apabila SSN dibenarkan beraksi di MSSM, sudah pasti mereka akan menang mudah dan ia mematahkan semangat murid dan guru dari sekolah biasa yang mungkin mempunyai bakat yang boleh diketengahkan.

“SSN sepatutnya bermain di kejohanan khas untuk mereka, di mana bakat pelajar dan guru (jurulatih) yang menunjukkan prestasi baik di MSSM harus digilap,”katanya.

 

Sekolah Harus Menghasilkan Pelajar Berkualiti, Umur Bukan Kayu Ukur

Bekas pemain antarabangsa dari 1989 hingga 2002 itu berkata, sekolah sukan perlu ada penilaian dan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi menentukan kualiti pelajar yang menunjukkan pencapaian perlu dikekalkan kerana ia melibatkan pembiayaan kerajaan.

“Pelajar yang gagal menunjukkan peningkatan perlu diganti dan SSN harus melahirkan produk yang lebih berkualiti,” katanya.

Ditanya mengenai beberapa pemain senior yang dikatakan berhasrat untuk bersara daripada pentas antarabangsa berikutan kegagalan tersebut, beliau berkata keputusan itu harus diambil oleh pemain sendiri dan tiada pihak yang berhak memaksa mereka.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel 1998 itu berkata, umur bukan menjadi kayu pengukur bagi menentukan masa seseorang pemain untuk bersara, tetapi kemampuan beraksi dan semangat juang yang menjadi faktor utama.

 

Malaysian Tigers Seperti ‘Mee Segera’?

Malaysia terlepas peluang layak secara automatik ke Tokyo sebagai juara benua apabila tewas 1-3 kepada Jepun dalam penentuan pukulan penalti pada final Sukan Asia Jakarta Palembang 2018.

Skuad negara tidak dapat menerima kekalahan itu selepas mendahului 5-2 sehingga 10 minit terakhir perlawanan sebelum Jepun bangkit untuk mengikat kedudukan 6-6 pada masa penuh tamat perlawanan.

Susulan kekecewaan itu, KHM mengambil langkah drastik dengan membawa masuk jurulatih berpengalaman dari Belanda, Roelant Oltmans, yang membantu skuad wanita negara itu merangkul Piala Dunia 1990 serta skuad lelaki merangkul gelaran juara Olimpik 1996 dan Piala Dunia 1998.

KHM juga mendapatkan khidmat pakar seperti Taeke Taekema (pukulan sudut), Michael McCann (penyerang) dan Martin Drijver (penjaga gol) untuk memantapkan skuad negara menjelang aksi kelayakan itu.

Bagi Bazli Aziz yang bertugas di Astro ARENA pula apa yang dilihat sejak hampir sedekad lalu lebih mirip kepada ‘mee segera’ dengan melantik jurulatih luar negara dibantu pakar perunding seperti Micheal McCann, Martijn Drijver dan Taeke Takema untuk jangka masa pendek.

Malah, Oltmans disyaratkan membawa Malaysia ke Sukan Olimpik hanya dalam tempoh setahun selepas dilantik pengendali negara.

 

Apa Terjadi Dengan Skuad Projek 2013?

Program paling tersusun dalam tempoh itu ialah penubuhan Skuad Projek 2013 (selama empat tahun).

Selepas raih tangga keempat Piala Dunia Remaja 2013, pasukan itu dibubarkan hingga ramai yang berhenti bermain hoki.

Melihat ke depan, kita hanya mendoakan agar juara benua Afrika, Afrika Selatan tarik diri daripada Olimpik Tokyo dan Malaysia dipilih sebagai pengganti memandangkan dikalangan negara gagal ke Tokyo, negara kita menghuni ranking terbaik dunia (11).

Tetapi banggakah mengharapkan tiket pintu belakang?

Menurut SinarHarian, KHM bakal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 16 November ini.

Adakah Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal dan timbalan presiden Datuk Dr S Shamala masih mempertahankan kedudukan mereka atau melepaskan jawatan seperti pengumuman mereka sebelum ini bahawa mereka bakal melepaskan jawatan sekiranya Malaysia gagal ke Sukan Olimpik 2020, sebelum membuat pusingan U baru-baru ini.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button