Bisnes & Ekonomi

Malaysia Kini Memiliki Ladang Ikan Menghasilkan Kaviar Bertaraf Dunia

Pernah dengar tentang ‘caviar‘?

Telur ikan sturgeon ini boleh mencecah ribuan ringgit dan ia hanya boleh didapati di kawasan beriklim subtropika, temperat dan subartik. Ia selalunya ditemui di persisiran Eropah, Amerika Utara dan beberapa kawasan di Asia.

Namun begitu, seorang warga Taiwan yang tadinya datang ke Malaysia untuk membuka resort air panas bersama beberapa orang ahli perniagaan di Malaysia telah mendapati mereka memiliki kawasan yang boleh menternak ikan sturgeon ini.

 

Usaha Sejak 2008 Akhirnya Membuahkan Hasil Pada Tahun Ini

Chien Wei Ho bersama Lim Aun Jun, yang ditugaskan oleh keluarganya untuk mengkomersilkan hasil ladang ikan ini setelah keluarganya melaburkan duit yang banyak kepada pengoperasian ladang tersebut sejak 2017 telah mendapati kawasan tersebut adalah kawasan yang baik untuk membiak ikan kerana mereka secara tidak sengaja telah mendapati ikan yang tercedera dan membedahnya lalu menemui telur kaviar.

Chien bersama ikan sturgeon di ladang. Sumber Imej: my.asiatatler.com

Chien yang memiliki beberapa resort air panas di Taiwan memiliki hobi menternak ikan sturgeon tetapi kesemua ikannya mati akibat dilanda taufan.

Chien memulakan projek ikan sturgeon di Malaysia sejak tahun 2008 dan jutaan ringgit telah dilabutkan kepada projek Chien.

Hasil penyelidikan selama lima tahun dan kematian beribu ikan serta ramai penyelidik yang tidak yakin dengan keberkesanan projek ini tidak memutuskan harapan Chien.

Setelah lapan kali percubaan, Chien akhirnya menemukan resipi untuk menternak ikan sturgeon di Malaysia.

Sebelum ini mStar pernah menerbitkan sebuah artikel tentang projek ikan sturgeon dihentikan di Sungai Tebung, Kuala Tahan selepas ia didapati dilaksanakan secara haram dan gagal mematuhi prosedur melibatkan aspek pembinaan dan alam sekitar.

Namun, ladang yang terletak di Tanjung Malim, Perak ini membuahkan hasil.

“Kami telah menggaji banyak pakar dan kebanyakan daripada mereka telah putus harapan, tetapi saya tetap mencuba,” kata Chien.

Sejak keluarga Lim bergabung dan melabur ke projek ikan sturgeon Chien, dia juga telah memanggil pakar dari Jerman untuk menunjukkan kepada mereka bagaimana untuk mendapatkan rasa terbaik daripada kaviar.

 

Ikan Sturgeon Boleh Membiak Dengan Lebih Cepat Di Malaysia!

Setelah mendapat resipi membiak ikan sturgeon, apa yang lebih mengejutkan Chien ialah ikan tersebut boleh membesar dengan lebih cepat dalam persekitaran suam dan lembap tidak seperti pada kebiasaannya.

“Tumbesaran ikan ini adalah lebih cepat kerana di Eropah, mereka memiliki empat musim dan sewaktu musim sejuk, ikan tidak akan makan dan tidak akan membesar tetapi di sini, mereka membesar 365 hari setahun!,” kata Chien dengan teruja.

Di ladang ini, ikan sturgeon boleh memiliki berat 6 hingga 8kg dalam masa tiga tahun dua kali cepat berbanding ikan sturgeon dari China yang hanya boleh sampai berat sedemikian rupa dalam masa enam tahun.

Buat masa ini, ladang ini mengimport telur sturgeon yang disenyawakan dan juga ikan sturgeon daripada China.

Telur yang sudah tersenyawa di simpan dalam ruang yang memiliki suhu diubahsuai dalam 16 darjah celsius untuk beberapa bulan sehingga ia diubah lagi pada setiap peringkat sehingga mereka boleh menyesuaikan diri dengan suhu persekitaran di Malaysia.

Air yang bersih juga sangat penting untuk memastikan kualiti ikan yang ada adalah baik. Oleh itu, mereka menggunakan air daripada hutan berdekatan denagn ladang yang memiliki pH7.

Air ini dipam ke dalam tangki tiga kali sehari untuk memastikan tangki ikan adalah bersih.

 

Kaviar Bertaraf Dunia Daripada Malaysia

Ikan sturgeon ini juga diberi makan palet marin komersial untuk memastikan tumbesaran secara optimum.

“Sumber alam serta kualiti air di sini adalah sangat baik dan saya sangat yakin ikan serta kaviar yang dihasilkan dari kawasan ini adalah bertaraf dunia,” kata Chien kepada TheStar.

Kini ladang ini memiliki 18,000 ikan sturgeon dengan ikan terbesar di ladang tersebut seberat 80kg. Mereka juga sudah pun melancarkan jenama kaviar tersendiri sekaligus menjadi kaviar pertama keluaran Malaysia iaitu T’lur Caviar pada Mac 2019.

Lim bersama kavier keluaran syarikatnya dengan jenama T’lur Caviar. Sumber Imej: malaymail.com
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button