Isu SemasaTempatan

Nyamuk Aedes Menemukan Tempat Baharu Membiak…

Mengejutkan apabila terjumpa larva nyamuk dalam dulang takungan air pada mesin penapisan air.

Itulah penemuan terbaharu tempat larva nyamuk membiak oleh pihak berkuasa kesihatan yang menjalankan pemeriksaan ke atas rumah di kawasan panas denggi baru-baru ini.

Perkara ini sudah pasti kita abaikan dan tidak perasan bahawa larva nyamuk boleh hidup dalam air takungan bersaiz sudu teh sekalipun.

“Inspektor kesihatan kami selalunya fokus mencari tempat pembiakan di tandas dan juga tempat penyimpanan berus gigi tetapi kini mesin penapisan air adalah di antara perkara yang termasuk dalam senarai pemantauan kami,” kongsi Dr Siti Mariah Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga.

 

4 Tempat Selalunya Nyamuk Aedes Membiak

Tempat pembiakan larva nyamuk di dalam rumah selalunya di dapati di dulang penapisan air, dulang takungan air pinggan mangkuk, tangki tandas dan juga tempat simpan berus gigi.

Di Selangor terdapat 122 kawasan panas denggi. 39 daripadanya terletak di daerah Petaling, 24 di Gombak, 21 di Hulu Langat dan 14 di Klang.

Menurut Dr Siti, usaha inspektor kesihatan untuk melakukan pemantauan pada pusat-pusat ini telah digiatkan lagi dengan peningkatan kes yang semakin meningkat.

Bagaimana Kawasan Itu Menjadi ‘Kawasan Panas Denggi’

Sesuatu kawasan itu dikategorikan sebagai kawasan panas apabila terdapat kes baharu didapati dalam waktu 30 hari.

Selalunya daripada 50 rumah yang diperiksa, 30 daripada mereka akan didapati memiliki larva nyamuk pada dulang penapisan air mereka.

Malah inspektor kesihatan daripada daerah Petaling yang meliputi kawasan Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya mendapati setengah daripada kes denggi yang dicatatkan dalam daerah ini adalah berpunca daripada nyamuk yang berada di dalam rumah mangsa itu sendiri.

Dr Siti Mariah berkongsi dengan TheStar bahawa Petaling telah mencatatkan senarai kes tertinggi dengan 21,858 kes dengan 22 kematian diikuti dengan Hulu Langat dengan 12,245 kes dan 16 kematian, Klang 10,698 kes dengan 7 kematian dan Gombak dengan 7,497 kes dengan empat kematian sejak Januari hingga 12 Oktover tahun ini.

 

Kes Denggi Meningkat Dua Kali Ganda Tahun Ini

Kes denggi di Selangor meningkat dua kali ganda tahun ini jika dibandingkan dengan tahun lalu oleh itu pihak berkuasa tempatan sentiasa mengingatkan penduduk Selangor untuk sentiasa berwaspada dengan punca wabak denggi ini terutamanya tiba musim hujan.

 

Luangkan Masa 10 Minit Setiap Hari

“Setiap orang perlu luangkan sedikit masa untuk memeriksa persekitaran dalam dan luar rumah dan memastikan tidak ada air yang bertakung. Pengawalan nyamuk ini boleh dicegah jika setiap isi rumah mengamalkan pemeriksaan 10 minit setiap hari untuk melihat sama ada wujudnya air bertakung atau pun tidak dan membuang sebarang bekas yang berisi air bertakung terutamanya di kawasan dapur basah,” kongsi Dr B. Venugopalan, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam).

Lebih-lebih lagi apabila cuaca sekarang yang panas diikuti oleh hujan lebat, air bertakung dan juga pembiakan nyamuk sudah tentu berleluasa di kala musim ini.

Oleh itu sangatlah disarankan untuk setiap orang menjalankan tanggungjawab masing-masing memastikan kebersihan di premis rumah untuk kesejahteraan diri dan masyarakat sekeliling.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button