Isu SemasaTempatan

SPR Terima Lebih 38,000 Permohonan Pendaftaran Pengundi Pada Suku Ketiga 2019

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima 38,895 permohonan pendaftaran pemilih daripada pengundi-pengundi baru sepanjang suku ketiga tahun ini.

Menurut Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, pihaknya turut menerima sebanyak 14,165 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar sepanjang tempoh itu.

Selaras dengan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku ketiga 2019 (ST3/2019) akan dipamerkan selama 14 hari mulai 30 Oktober hingga 12 November 2019 di 917 lokasi pameran di seluruh negara.

“Pemohon yang telah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 Julai 2019 hingga 30 Sept 2019 dinasihatkan untuk menyemak nama mereka.

“Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam RDPT ST3/2019, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B,” ujar beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Azhar, pengundi berdaftar yang ingin membuat bantahan ke atas nama-nama individu di dalam senarai RDPT ST3/2019 boleh melakukannya dengan mengisi Borang C.

“Tuntutan atau bantahan hendaklah dikemukakan kepada pendaftar pemilih (pengarah pilihan raya negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan,” katanya.

Sepanjang tempoh pameran tersebut juga, SPR akan mempamerkan nama-nama pengundi yang telah meninggal dunia atau hilang kewarganegaraan untuk dikeluarkan daripada daftar pemilih.

Bagi pegawai serta anggota polis dan tentera yang sudah tamat perkhidmatan pula, SPR bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengemas kini maklumat lokaliti pengundian mereka.

Untuk melakukan sebarang pertanyaan berhubung pameran berkenaan, orang ramai boleh mmenghubungi Ibu Pejabat SPR menerusi talian 03-8892 7018 atau pejabat-pejabat pilihan raya, atau dengan melayari portal SPR di www.spr.gov.my dan aplikasi telefon pintar MySPR Semak.

Dalam kenyataan lain, Azhar juga meminta semua calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di Johor untuk melakukan pemeriksaan terlebih dahulu tentang cara mengisi borang pencalonan mereka sebelum hari penamaan calon pada 2 November.

Katanya, langkah ini bertujuan untuk memastikan semua calon akan dapat mengisi borang-borang tersebut dengan tepat dan memenuhi semua keperluan dan kelayakan bagi mengelak sebarang masalah ketika hari penamaan calon.

“Ini adalah untuk memastikan proses pencalonan berjalan dengan lancar. Ia juga akan memberi masa yang cukup kepada parti-parti yang bertanding untuk mencari pengganti sekiranya calon mereka didapati tidak layak untuk bertanding kerusi itu,” jelasnya.

PRK Tanjung Piai dijadualkan untuk berlangsung pada 16 November 2019.

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button