AntarabangsaIsu Semasa

Perancis: Bekas Calon Pilihan Raya Lancar Serangan Ke Atas Masjid

Seorang lelaki berusia 84 tahun yang pernah menjadi calon pilihan raya mewakili  parti berhaluan kanan di Perancis telah ditahan kerana melancarkan serangan ke atas sebuah masjid di Bayonne baru-baru ini.

Menurut satu sumber, pelampau tersebut dikenali sebagai Claude Sinke, dan dia dikatakan telah mengaku sebagai dalang di sebalik insiden itu.

Polis mendedahkan bahawa Sinke memiliki tiga buah senjata ala tentera, di mana dia sendiri mengisytiharkannya kepada pihak penyiasat.

Dalam serangan tersebut, suspek telah menembak dan mencederakan dua orang mangsa lelaki berusia 74 dan 78 tahun, serta membakar sebuah kenderaan di luar masjid itu.

Namun, kedua-dua mangsa yang berada di hospital dilaporkan berada dalam keadaan serius tetapi stabil.

Sumber polis berkata, suspek merupakan calon pilihan raya tempatan di Landes pada tahun 2015 yang mewakili parti berhaluan kanan pimpinan Marine Le Pen, Front National yang kini dikenali sebagai National Rally.

Nicolas Bay, seorang ahli politik daripada National Rally mengesahkan bahawa suspek pernah menjadi calon, namun dia telah meninggalkan parti.

“Dia adalah seorang pelampau yang tidak mempunyai tempat di dalam barisan kami, dan dia sudah meninggalkan parti,” kata Bay.

Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengecam sekeras-kerasnya serangan kebencian itu dengan berkata:

“Republik ini tidak akan bertoleransi dengan kebencian. Segalanya akan dilakukan untuk menghukum pesalah dan melindungi rakyat kami yang beragama Islam. Saya berjanji.”

Menteri Dalam Negeri Perancis, Christophe Castaner, turut menzahirkan solidariti dan sokongannya kepada masyarakat Muslim susulan serangan itu.

Le Pen juga mengecam insiden tersebut dan menyifatkannya sebagai “amat bercanggah dengan nilai pergerakan kami.”

“Jenayah ini harus ditangani sekeras-kerasnya,” tegas beliau.

Sumber: Malay Mail, The Guardian

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button