AntarabangsaIsu Semasa

Ancaman IS Di Asia Tenggara Meningkat Selepas Kematian Pengasasnya

Kematian pengasas dan ketua militan IS, Abu Bakr Al-Baghdadi boleh menggerakkan kumpulan pengganas itu untuk berpindah ke Asia Tenggara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pasukan keselamatan Malaysia kekal dalam keadaan bersiap-siaga untuk berdepan potensi anaman keganasan di dalam negara selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan kematian Abu Bakr Al-Baghdadi dalam satu operasi ketenteraan di Syria baru-baru ini.

“IS akan tetap menjadi kumpulan yang bahaya walaupun dengan kematian ketuanya, dan pihak berkuasa, terutamanya polis, tidak boleh berhenti berwaspada.

“Kami telah mengesan rancangan IS untuk mewujudkan khalifah baru di rantau ini sejak keruntuhan kubu kuat mereka di Raqqa, Syria, pada tahun 2017,” katanya.

Memandangkan rangkaian kepimpinan pengganas itu dikatakan sudah musnah, serangan-serangan yang berpotensi berlaku pada masa akan datang mungkin akan dilakukan oleh penyerang ‘lone wolf’ dan militan yang diradikalisasikan dengan sendiri.

Namun menurut Ayob, situasi tersebut juga meningkatkan lagi ancaman IS, sekali gus menjadikan perisikan lebih penting berbanding sebelum-sebelum ini.

“Sel-sel IS mungkin tidak mendapatkan arahan daripada kepimpinan pusat mereka di Syria dan Iraq lagi, tetapi ini tidak akan menghalang penyerang lone-wolf daripada melancarkan serangan.

“Mengumpul maklumat perisikan amat penting untuk membendung serangan-serangan sedemikian,” ujar beliau.

Jelas Ayob, serangan di Surabaya dan selatan Filipina pada tahun lepas merupakan bukti ancaman kumpulan itu di rantau ini.

Sementara itu, Ahmad El-Muhammady, seorang pensyarah sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, walaupun kematian Al-Baghdadi akan melemahkan IS, masih wujud kebimbangan anggota-anggotanya akan berkumpul semula.

“IS akan berhibernasi untuk berkumpul semula dan mereka akan mewujudkan strategi-strategi baru. Mereka mungkin akan berubah menjadi sebuah pergerakan berbanding organisasi.

“Saya percaya bahawa kematiannya (Al-Baghdadi) telah meyakinkan lagi pejuang-pejuang asing bahawa untuk terus kekal di Syria bukanlah satu pilihan. Faktor tolakan untuk meninggalkan Syria adalah lebih tinggi.

“Terdapat kemungkinan besar akan berlaku pemberontakan, walaupun ia tidak akan terjadi dengan segera,” tegas beliau.

Justeru, El-Muhammady menggesa semua agensi keselamatan di rantau ini untuk bersiap siaga untuk berdepan sebarang kemungkinan operasi dan pengrekrutan IS.

Menurut beliau, kumpulan militan itu kini semakin kreatif dalam merekrut anggota baru dan melaksanakan operasi selepas kematian pengasasnya.

Sumber: Malay Mail – The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button