AntarabangsaIsu Semasa

Donald Trump Sahkan Ketua IS Terbunuh

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam satu sidang media khas pada Ahad, 27 Oktober 2019 mengumumkan bahawa ketua militan IS, Abu Bakr al-Baghdadi telah disahkan terbunuh dalam sebuah operasi ketenteraan di Syria yang diketuai oleh AS.

Kematian Baghdadi disifatkan sebagai satu kemenangan yang penting bagi Trump susulan keputusan mengejutnya untuk mengundurkan tentera AS dari Syria yang mencetuskan gelombang kecaman secara meluas ke atasnya.

IS yang sebelum ini mempunyai pengaruh yang kuat di Syria dan Iraq, dilaporkan bertanggungjawab melakukan pelbagai serangan keganasan yang kejam.

Kecaman itu turut datang daripada kalangan ahli Republikan sendiri, yang menyatakan bahawa pengunduran tentera AS dari negara bergolak itu akan membawa kepada kebangkitan IS.

“Penjahat yang berusaha keras untuk menakut-nakutkan orang lain itu menghabiskan waktu-waktu akhirnya berada dalam keadaan panik dan takut kepada tentera Amerika yang memburunya,” kata Trump.

Baghdadi dilaporkan telah membunuh diri dengan meletupkan jaket pengeboman diri ketika serangan operasi khas tentera AS. Difahamkan, tiga orang anaknya turut terbunuh.

Menurut Trump, Baghdadi terbunuh selepas bertemu jalan mati ketika melarikan diri dalam sebuah terowong.

“Dia sampai di penghujung terowong itu ketika anjing tentera kami mengejarnya. Dia meletupkan jaketnya, sekali gus menyebabkan dirinya dan tiga orang anaknya terbunuh.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Russia, Turki, Syria, Iraq dan juga pejuang Kurdish di atas kejayaan operasi berkenaan.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button