Isu SemasaTempatan

Belanjawan 2020 Tidak Abaikan Sarawak

Sarawak merupakan antara negeri yang menerima peruntukan tertinggi di bawah Belanjawan 2020, menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Justeru, beliau menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu yang berkata bahawa kerajaan persekutuan tidak adil dalam mengagihkan peruntukan.

Difahamkan, Sarawak diberi peruntukan sebanyak RM4.4 bilion bagi tujuan pembangunan yang meliputi semua sektor di negeri tersebut.

“Jumlah RM4.4 billion adalah untuk 621 projek di Sarawak pada tahun 2020 meningkat berbanding RM4.3 billion bagi 569 projek di negeri ini pada tahun 2019,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Tahunan ke-19 DAP Sarawak baru-baru ini.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kerajaan persekutuan juga prihatin dengan pembangunan di Sarawak, dan bercadang untuk meningkatkan pemberian khas di bawah perkara 112D Perlembagaan Persekutuan mulai tahun depan, daripada RM 16 juta yang telah disalurkan sejak tahun 1969 kepada RM32 juta.

“Bagi menunjukkan keprihatinan kepada rakyat Sarawak, kerajaan persekutuan bercadang untuk meningkatkan kadar tersebut sehingga RM64 juta dalam tempoh lima tahun,”katanya.

Jelasnya lagi, peruntukan sebanyak RM400 juta di bawah Belanjawan 2020 akan disalurkan bagi membaiki sekolah-sekolah daif di Sarawak.

“Kerajaan persekutuan telah mengambil langkah untuk berkongsi hasil dengan perkongsian hasil 50% daripada hasil cukai pelancongan yang dipungut di negeri masing-masing apabila pada Mac 2019 kerajaan Sarawak menerima RM2.6 juta yang merupakan 50% kutipan cukai pelancongan di Sarawak pada tahun 2018,” ujar beliau.

Mengulas tentang cadangan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang membabitkan hampir 6,000 rumah panjang dan kampung di Sarawak pada tahun depan, Lim menyatakan bahawa kementeriannya bersedia untuk memberi peruntukan kewangan yang sewajarnya.

Katanya, kerajaan persekutuan bersetuju dengan penubuhan MPKK sebagai persiapan peringkat akar umbi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 yang bakal diadakan dalam tempoh setahun setengah lagi.

Tambah beliau, penubuhan MPKK akan memudahkan saluran peruntukan kewangan dari kerajaan persekutuan bagi pelaksanaan pelbagai projek di luar bandar, selain daripada membentuk barisan pemimpin akar umbi sekiranya kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri Sarawak selepas PRN12 diadakan.

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button