Isu SemasaTempatan

Rancangan Mewujudkan Kediaman Mikro Untuk Pelajar UM Sedang Dirangka

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata beliau sedang bekerjasama dengan Universiti Malaysia (UM) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dalam usaha merangka rancangan untuk mewujudkan perumahan mikro bagi pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi tersebut.

Menurut Fahmi, konsep perumahan ini akan membantu menyediakan lebih banyak kediaman yang sesuai untuk pelajar-pelajar berkenaan.

“Akan ada beberapa fasa. Sebagai contoh, kita boleh menggunakan semula banglo dan bangunan lama yang dimiliki oleh UM untuk perumahan mikro ini memandangkan kebimbangan segera adalah untuk menyediakan lebih banyak tempat kediaman bagi pelajar-pelajar.

“Pada masa akan datang, kita juga melihat sama ada untuk menaik taraf kolej penginapan lama atau membina yang baru.

“Kita akan merangka pelan induknya tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita di dewan canselor UM selepas ucapan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis malam.

Anwar turut menyerahkan mok cek kepada Naib Canselor UM, Datuk Abdul Rahim Hashim selepas menyampaikan ucapannya tentang kemiskinan.

Sementara itu, Fahmi turut menyerahkan RM270,000 daripada “Program Mesra Rakyat” untuk membantu menyelesaikan masalah penginapan pelajar di universiti berkenaan.

“UM akan menaik taraf enam buah banglo di Jalan 16, berdekatan Kolej Kediaman ke-9 Za’ba, untuk menyediakan 144 kediaman bagi pelajar,” ujarnya.

Pada bulan lepas, Fahmi berkata bahawa masalah kediaman ini secara khususnya melibatkan pelajar-pelajar yang tinggal di luar kampus.

Masalah tersebut membabitkan kawasannya, iaitu di Kampung Kerinchi dan Pantai Dalam, yang menyaksikan ramai pelajar UM terpaksa berkongsi rumah sehingga 10 orang serumah.

“Ramai pelajar di luar kampus tinggal di Lembah Pantai seperti Kampung Kerinchi dan Pantai Dalam. Kita lihat keadaannya agak padat, kadang-kala 8-10 pelajar, bukan saja di Lembah Pantai bahkan di Petaling Jaya.

“Mungkin di pihak kerajaan pusat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kita perlu pertimbangkan bagaimana kita boleh mewujudkan (perumahan mikro). Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah ada perumahan untuk orang bujang tapi khusus untuk para pelajar belum lagi.

“Konsep perumahan mikro untuk para pelajar tak perlu ruang yang besar. Mungkin kita boleh bincang dengan beberapa pihak untuk kita lihat bagaimana kita boleh bangunkan perumahan mikro untuk para pelajar,” jelas beliau.

Sumber: Malay Mail, Malaysian Gazette

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button