AntarabangsaIsu Semasa

Arab Saudi Lantik Putera Muda Sebagai Menteri Luar Baru

Kerajaan Arab Saudi telah melantik seorang putera muda yang mempunyai pengalaman diplomatik yang luas di negara-negara Barat sebagai Menteri Luar yang baru.

Pelantikan Putera Faisal Bin Farhan Al-Saud itu merupakan sebahagian daripada rombakan kecil dalam Kabinet yang dilakukan untuk memulihkan imej negara itu di peringkat global dan sebagai persediaannya untuk menjadi Presiden G20.

Putera Faisal beberapa bulan lalu telah berkhidmat sebagai Duta Arab Saudi ke Jerman dan sebelum ini pernah menjadi penasihat politik di kedutaan Washington.

Beliau juga menjalankan perniagaan dalam industri pertahanan, termasuk memegang jawatan pengerusi dalam sebuah usahasama dengan syarikat pembuat pesawat, Boeing.

Arab Saudi yang merupakan sekutu penting Amerika Syarikat (AS) untuk berdepan dengan Iran, telah menerima kecaman hebat oleh negara-negara Barat atas rekod buruknya dari aspek hak asasi manusia, termasuk pembunuhan kejam wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi pada tahun lepas dan penglibatannya dalam peperangan di Yaman.

Difahamkan, Putera Faisal kini menjadi sebahagian daripada pasukan diplomat-diplomat kanan Arab Saudi yang berusia dalam lingkungan 40 tahun, termasuk Duta Arab Saudi ke AS dan Britain, yang merupakan adik beradik.

“Lihatlah kumpulan yang disatukan di DC, London, dan kini dengan Menteri Luar baru…Gabungan kini semakin mendalam dan kita mempunyai ‘kru’ pro-Barat,” kata Neil Quilliam, felo penyelidik kanan di pusat pemikir Chatham House yang berpangkalan di Britain.

Arab Saudi dilaporkan sedang cuba mewujudkan konsensus bagi menyekat program nuklear Iran – yang merupakan musuh ketatnya – selepas pentadbiran Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian yang mengehadkan program tersebut, dengan mengurangkan sekatan ekonomi sebagai pertukaran.

Washington dan Riyadh juga menuduh Iran sebagai dalang di sebalik beberapa siri serangan, termasuk serangan dron pada 14 September ke atas fasiliti minyak Arab Saudi. Namun, dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Iran.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button