AntarabangsaIsu Semasa

Trump Dan Kim Mempunyai “Hubungan Istimewa”

Seorang pegawai kanan Pyongyang mendedahkan bahawa pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mempunyai “hubungan yang istimewa.”

Penganalisis berkata, ini merupakan petanda bahawa Pyongyang masih lagi berharap untuk mencapai kesepakatan secara langsung dengan Trump berhubung program nuklearnya, walaupun Washington kekal dengan pendirian tegas yang hanya akan menarik semula sekatan-sekatan yang dikenakan ke atas Korea Utara selepas rejim itu menghentikan program senjatanya.

Dalam satu kenyataan, penasihat Menteri Luar Korea Utara, Kim Kye Gwan berkata, beliau telah bertemu dengan Kim Jong-un “beberapa hari lalu,” dan pemimpin tersebut menyatakan bahawa “hubungannya dengan Presiden Trump adalah istimewa.”

Beberapa hari sebelum ini juga, Trump berkata:

“Saya suka dia. Dia suka saya. Kami mesra. Saya menghormati dia. Dia menghormati saya.”

Menurut penganalisis, Korea Utara dilihat mahu mengeksploitasi hubungan di antara Kim dan Trump, untuk mendapatkan konsesi AS dalam rundingan nuklear.

Negara itu sebelum ini telah memuji “keberanian luar biasa” Trump, namun pada masa yang sama berulang kali  menuntut Washington untuk tampil dengan “kaedah baru” pada penghujung tahun ini.

Koh Yu-hwan, seorang profesor Pengajian Korea Utara di Dongguk University di Seoul berkata, Pyongyang juga memahami bahawa pegawai-pegawai AS akan membantah cadangan untuk menarik sekatan sebelum denuklearisasi dan oleh itu, ia mahu “berunding secara terus dengan Trump.”

“Korea Utara memberi isyarat bahawa melainkan Trump yang membuat keputusan, rundingan itu akan gagal,” katanya sambil menambah bahawa keadaan sudah mencapai tahap kritikal yang memerlukan keputusan yang betul.

Sementara itu, Kim Kye Gwan menyatakan bahawa pembuat dasar Washington bermusuhan dengan Pyongyang dan masih lagi mengamalkan “mentaliti Perang Dingin dan prejudis ideologi.”

Beliau turut berharap segala halangan dapat diatasi atas dasar “persahabatan yang rapat.”

Sumber: The Sun Daily

Show More

Related Articles

Back to top button