Isu SemasaPolitikTempatan

Tanpa Bersatu, Tiada Pakatan Harapan

Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata bahawa Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada empat parti komponen dan gabungan itu tidak boleh berfungsi sekiranya salah satu parti dibuang.

Beliau mengulas pandangan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu menerusi penulisannya berjudul “Mahathir: The Paper Tiger”, yang mencadangkan agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuang daripada PH.

“Pandangan saya adalah Pakatan merangkumi Keadilan (PKR), DAP, Amanah, dan Bersatu.

“Bersatu sehingga ini telah memainkan peranan yang positif dan menjadi komponen yang penting dalam parti,” katanya kepada pemberita di Parlimen apabila diminta untuk mengulas tentang komen Liu, yang juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek.

Dalam artikelnya, Liu berkata bahawa Bersatu – yang diasaskan pada tahun 2016 dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad – adalah parti yang paling “muda dan kecil” dalam kalangan parti-parti komponen PH.

Tambahnya, tiga parti komponen PH yang lain boleh membentuk kerajaan tanpa penglibatan Bersatu.

Dalam pada itu, kenyataan berkontroversi Liu telah menyebabkan anggota-anggota Bersatu, yang dipimpin oleh Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk menuntut agar hukuman dikenakan ke atas beliau.

Justeru, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata bahawa Liu akan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti atas dakwaan “tindakan sabotaj” terhadap PH.

“Kenyataan daripada Ronnie Liu ini dilihat daripada kepimpinan DAP sebagai tindakan sabotaj. Satu tindakan yang sangat serius.

“Dan saya sebagai Setiausaha Organisasi (DAP) Kebangsaan akan merujuk beliau kepada jawatankuasa disiplin parti,” tegasnya.

Ujar beliau lagi, kesepakatan PH tidak wajar untuk dipersoalkan oleh mana-mana pemimpin DAP dan juga PH sendiri.

“Pakatan Harapan ditubuhkan oleh empat parti iaitu Bersatu, PKR, Amanah dan DAP dan kita memenangi PRU-14 melalui platform Pakatan Harapan.

“Ini mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan yang amat berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad,” jelasnya.

Sumber: Malay Mail, Roket Kini

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button