Isu SemasaTempatan

Walaupun Wujud Seruan Boikot Minyak Sawit, Malaysia Kekal Teguh Dengan Pendirian Isu Kashmir

Malaysia tidak akan berundur daripada kenyataannya berkenaan konflik Jammu-Kashmir walaupun India mengancam untuk memboikot minyak sawit negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam satu kenyataan ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada bulan lepas berkata, India telah “ditawan dan dijajah” Kashmir, sambil menggesa New Delhi dan Islamabad untuk bekerjasama menyelesaikan konflik berkenaan.

Walau bagaimanapun, kenyataan Dr Mahathir itu tidak diterima dengan baik oleh pihak-pihak tertentu, di mana wujud seruan untuk memboikot minyak sawit Malaysia.

Difahamkan, Persatuan Pengekstrak Pelarut India yang berpangkalan di Mumbai telah meminta anggota-anggotanya untuk tidak membeli minyak sawit dari Malaysia.

Namun, New Delhi masih belum memberi sebarang komen rasmi berhubung perkara ini.

“Kita bercakap secara terus terang, dan kita tidak menarik balik atau mengubah (kenyataan). Apa yang kami katakan adalah kita semua harus mematuhi resolusi-resolusi PBB.

“Jika tidak, apa gunanya PBB?,” tegasnya di lobi Parlimen semalam.

Walaupun wujud kebimbangan tentang kemungkinan untuk berlakunya perang dagang Malaysia-India, Dr Mahathir menyatakan bahawa kedua-dua negara akan berkomunikasi dengan cara yang berkesan dalam usaha mengelak konflik dagang sedemikian.

“Kita akan mengkaji kesan boikot itu. Apa yang penting adalah kerajaan mereka (India) masih belum berkata apa-apa, jadi kita akan lihat apa dasar mereka nanti.

“Kadang-kala, akan ada ketegangan pada hubungan, tetapi kita mahu kekal mesra. Malaysia adalah negara dagang dan kita memerlukan pasaran, jadi kami baik kepada orang.

“Tetapi, kita juga perlu bersuara untuk orang, jadi kadang-kadang apa yang kita katakan disukai oleh sesetengah dan tidak disukai oleh yang lain,” jelasnya.

Malaysia merupakan pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia, manakala India pula adalah pembeli terbesar komoditi tersebut di peringkat global.

Tahun lepas, India telah membeli produk-produk berasaskan minyak sawit bernilai RM6.84 bilion.

Sumber: The Malaysian Reserve

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button