Bisnes & Ekonomi

Usahawan Malaysia Pertama Muncul di ‘Shark Tank’ Berjaya Gondol RM3.36 Juta

Usahawan Malaysia yang pertama muncul di rancangan realiti perniagaan AS, Shark Tank mungkin mempunyai masa depan yang cerah untuk perniagaan lampu terapinya.

Amber Leong, 35, wanita yang menggambarkan dirinya sebagai “gadis dari sebuah bandar kecil di Malaysia” berjaya mendapatkan perjanjian bernilai AS$ 800,000 (RM3.36 juta) dengan dua pelabur utama program itu, Mark Cuban dan Lori Greiner , sebagai pertukaran 20 peratus pegangan dalam syarikatnya.

“Kita tidak mendapat cahaya yang cukup dan ini mengganggu badan dan membuatkan kita penat dan tidak sihat,” katanya memberitahu para pelabur dalam rancangan itu.

Leong menyertai program Shark Tank yang ditayangkan di Saluran ABC pada awal bulan ini untuk mencari rakan kongsi untuk membantunya mengembangkan pasaran runcit dan menjana 10 peratus kepentingan dalam syarikatnya yang dikenali sebagai Circadian Optics yang menjual lampu terapi iaitu lampu kecil untuk membantu mengawal irama badan .

Syarikat yang berpusat di Minneapolis diasaskan oleh Leong dan suaminya bernama Kin Mun Chew tiga tahun yang lalu dan dilaporkan telah mencatatkan penjualan dalam talian sebanyak AS$ 4 juta; ia diunjurkan untuk meningkat kepada US$ 5 juta pada tahun ini.

Leong mengatakan bahawa syarikatnya akan bernilai AS$ 7.5 juta. Walaupun kenyataan itu dipersoal oleh pelabur Shark Tank, Leong berjaya meyakinkan mereka bahawa beliau mempunyai apa yang diperlukan dengan kisahnya sendiri bagaimana lampu terapi membantunya mengatasi pola tidur yang terganggu ketika bekerja sebagai pengurus syarikat.

Kisahnya tentang bagaimana beliau mengikuti impian zaman kanak-kanaknya untuk berhijrah ke Amerika Syarikat selepas meyakinkan ibu bapanya untuk menggunakan wang persaraan mereka untuk tiket satu hala bagi membiayai pendidikannya dan pertarungannya dengan penyakit sindrom kejutan toksik, berjaya menarik pelabur masuk.

Leong menceritakan bagaimana beliau berjaya menghabiskan pengajian siswazah walaupun diberitahu peluang untuk hidup hanya 50:50 dan menyimpan gaji enam angkanya sebagai pengurus syarikat untuk dihantar kepada keluarganya di Malaysia, tetapi akhirnya memilih “kreativiti berbanding kepastian”.

“Anda mewakili semua orang di seluruh dunia yang menonton rancangan ini bahawa tidak kira di mana anda datang, jika anda mahukannya, anda pasti boleh.

“Anda mewakili semua yang hebat tentang keusahawanan. Anda adalah kebebasan,” kata Mark Cuban kepada Leong dalam rancangan terbabit yang sudah memasuki musim ke-11.

Leong berjaya memperoleh perjanjian 80:20 bersama Cuban dan Greiner dengan peruntukan US$ 50,000 untuk diberikan kepada ibu bapa Leong. Beliau juga ditawarkan US$ 750,000 oleh pasangan pelabur lain iaitu Kevin O’Leary dan Barbara Corcoran.

“Saya tahu saya harus berunding dan menjadi rakan perniagaan yang baik. Tetapi saya di sini untuk Lori dan Mark,” kata Leong ketika memilih pelabur untuk syarikatnya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button