HiburanWayang

Sudah Lama Filem Romantik Komedi Tempatan Menyepi, Pengarah Anwardi Datuk Jamil Tampil Dengan Filem Baharu

Cukup-cukuplah dengan cerita ganas, seram dan aksi. Isikan ruang hidup anda dengan cerita-cerita romantik dan komedi pula. Tontonlah 7 Hari – Kisah Cinta Langkawi.

7 HARI KISAH CINTA LANGKAWI merupakan filem Genre Komedi Romantik yang sesuai untuk tontonan golongan remaja di era media sosial ini.

Filem arahan Anwardi Jamil, putera kepada pengarah terkenal, Allahyarham Datuk Jamil Sulong dan seniwati Datuk Rosnani Jamil ini berkisahkan seorang vlogger popular bernama Adira (dijayakan oleh Chi Azim) yang menggunakan nama vlog Diva Asmara yang kerap memuatnaik kata-kata nasihat dan motivasi kepada pengikutnya tentang permasalahan cinta remaja serta bagaimana mengatasinya.

Salah satu babak dalam filem di mana Chi Azim dilamar Amai. Chi Azim, pelakon teater yang pertama kali tampil di layar lebar

Apabila beliau menerbitkan buku bertajuk Cara Memikat Hati Lelaki Dalam 7 Hari, seorang lagi vlogger di Langkawi bernama Joe (dijayakan oleh Josiah Hogan) mencabarnya untuk membuktikan keberkesanan sistem yang disarankan dalam bukunya.

Adira enggan melayan cabaran tersebut tetapi pembantu peribadinya, Eli (dijayakan oleh Tengku Norsaili) mendesak Adira untuk menyahut cabaran yang telah menjadi viral di media sosial.

Cabaran yang dilontarkan kepada Adira bukanlah untuk Joe jatuh cinta dengannya dalam 7 hari tetapi untuk Adira menawan kawan Joe bernama Ben (dijayakan oleh Peter Davis) yang berasal dari UK.

Lebih-lebih lagi situasi ini menjadi rumit dengan kehadiran kawan Joe iaitu Nik (dijayakan oleh Mark Adam) yang sering mengganggu pelan Joe untuk merosakkan reputasi Adira (dengan cara yang tak sengaja).

Pada masa yang sama, ayah Adira, Datuk Rahim (dijayakan Oleh Shahruddin Thamby) telah memaksa anak rakanniaganya, Zul (dijayakan oleh Amai Kamarudin) segera ke Langkawi untuk memikat hati Adira, kerana dia inginkan Zul untuk menjadi menantunya.

Siapakah yang akan berjaya? Adira? Joe? Nik? Zul? Atau Ben?

Filem yang membariskan 10 pelakon dan hanya mengambil masa 8 hari iaitu tujuh hari di Langkawi serta satu hari di Kuala Lumpur ini merupakan filem pertama Mark Adam.

Anwardi yang turut bertindak selaku penerbit mengakui cabaran terbesar dalam menyiapkan filem yang akan menemui penoton pada 31 Oktober ini adalah modal.

Anwardi bersama Penulis, Sarah Tang dan pengarah seni, Jie Ibrahim

“Saya amat berterima kasih kepada beberapa rakan penerbit yang sanggup membantu perjalanan filem ini. Kami tiada geran daripada kerajaan dan buat filem ini secara sukarela.

“Ini filem kecil dan suntikan modalnya semua daripada kawan iaitu Yoki Chin, Datuk Tiar Mohd Shariff dan saya sendiri.

“Semua keluarkan modal secara berperingkat. Apabila filem siap, kami lupa berkenaan promosi dan ia memerlukan modal,” katanya.

Kata Anwardi, mereka menunggu geran daripada kerajaan namun tiada khabar berita.

“Baru-baru ini, kami duduk sama-sama dan akhirnya memutuskan untuk dipertontonkan kepada umum.

“Namun, sebelum itu kami tengok dulu sama ada ia masih relevan kerana dihasilkan dua tahun lalu.

“Melalui pemerhatian, saya dapati Mark Adam masih popular dan baru tampil dengan filem Hero. Josiah pun sama kerana keluar dengan beberapa filem.

“Peter pula mempunyai pengikut yang ramai. Begitu juga Chi yang hebat di pentas teater dan sudah ada nama. Semua ini menjadi pendorong kami,” katanya kepada Harian Metro.

Bagi yang mahu menonton filem dengan lakonan orang berdarah Mexico, United Kingdom, Filipina serta orang tempatan, nantikan tayangan 7 Hari – Kisah Cinta Langkawi ini pada 31hb Oktober 2019 di pawagam dan cineplex seluruh Malaysia.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button