AntarabangsaIsu Semasa

Pemimpin Hong Kong Mohon Maaf Atas Insiden Meriam Air Terkena Masjid

Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam pada Isnin telah memohon maaf di atas insiden yang menyaksikan pihak polis menembak meriam air ke masjid Kowloon – yang merupakan salah satu daripada lima masjid utama di bandar berautonomi itu –  ketika sedang bertempur dengan penunjuk perasaan.

Difahamkan, beliau sempat mengadakan lawatan ke masjid itu sebelum berlepas ke Jepun untuk menghadiri upacara pertabalan Maharaja Naruhito di Tokyo.

Menurut seorang jurucakap, Lam melawat masjid itu pada pagi ini dengan memakai selendang, dan memohon maaf kepada pemimpin-pemimpin Islam di sana.

Ketua Imam, Muhammad Arshad menerima perhomohan maaf Lam berhubung insiden itu dan menyatakan bahawa masyarakat Islam berharap untuk terus hidup dalam keadaan damai di Hong Kong.

Ketika kejadian semalam, polis dilaporkan telah melepaskan meriam air berwarna biru ke arah penunjuk perasaan di Kowloon untuk meleraikan mereka, namun ia turut terkena pintu depan masjid.

Dalam satu kenyataan, polis berkata bahawa meriam air terkena masjid tersebut secara tidak sengaja sambil memberi jaminan bahawa mereka “menghormati kebebasan beragama dan akan berusaha untuk melindungi semua tempat ibadat.”

Polis juga telah bertemu pemimpin-pemimpin Islam pada malam tadi untuk memohon maaf.

Sementara itu, masyarakat Muslim di sana berpandangan bahawa pergolakan yang sedang berlaku tidak sepatutnya membabitkan tempat ibadat.

“Tempat ibadat ini tidak patut diheret ke dalam konflik di antara kerajaan dan rakyatnya,” kata Arabi Mohideen, 60, selepas menunaikan solat Subuh di masjid itu.

Namun pada masa yang sama, permohonan maaf daripada Lam kepada orang Islam di sana turut melambangkan keamanan.

“Ini adalah simbol keamanan. Ia (konflik) tidak sepatutnya berlaku…Orang Asia Selatan tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk protes – anti-Hong Kong atau pro-Hong Kong.

“Kita hanya hidup dalam keadaan aman,” ujar Waqar Haider, seorang jurubahasa bagi penduduk warga Asia Selatan di sana.

Sumber: Malay Mail – Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button