Isu SemasaTempatan

Kerajaan Akan Membela Nasib Pekerja Ekonomi Gig

Kerajaan akan mengawal selia ekonomi gig di dalam negara untuk memastikan kebajikan pekerja dalam sektor berkenaan dilindungi.

Ekonomi gig merujuk kepada kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh seseorang individu tanpa ada majikan, dengan cara menjual perkhidmatan kepada orang lain, yang  boleh dilaksanakan secara separuh atau sepenuh masa.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, individu-individu yang bekerja di bawah ekonomi gig tidak memperoleh manfaat dan perlindungan seperti yang dinikmati oleh pekerja-pekerja tetap lain, dan mereka juga boleh dianiaya dan dieksploitasi oleh majikan.

“Kerajaan prihatin terhadap mereka yang bekerja dalam ekonomi gig. Bagi pekerja tetap, terdapat peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan tabungan dan pencen mereka, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Tetapi, masih tiada undang-undang sedemikian dalam ekonomi gig. Ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk mewujudkan peruntukan dan undang-undang bagi memastikan semua orang dilindungi.

“Kita akan mewujudkan peruntukan, di mana jika majikan melanggar peraturan, maka tindakan akan diambil terhadap mereka. Buat masa ini, kita masih tiada peraturan dan undang-undang seumpamanya,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Oleh yang demikian, Dr Mahathir menyatakan bahawa kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dengan penglibatan tiga kementerian yang akan merangka penyelesaian jangka masa panjang terhadap pelbagai isu berhubung ekonomi gig di dalam negara.

Kementerian-kementerian berkenaan adalah:

1. Kementerian Belia Dan Sukan (KBS)

2. Kementerian Sumber Manusia (KSM)

3. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)

“Kementerian Sumber Manusia akan menjalankan kajian terperinci dari segi takrifan perundangan berhubung terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan dalam industri kategori ‘gig economy’ selaras dengan perubahan trend ekonomi di bawah perkembangan Industri 4.0,” katanya.

Tambah beliau, jawatankuasa tersebut juga berperanan untuk memberi tumpuan kepada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru, mampan dan inklusif dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tempoh 2021-2025.

Sumber: The Sun Daily, MalaysiaKini

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button