Isu SemasaTempatan

Perang Dagang AS-China: Malaysia Berpotensi Jadi Sasaran Sekatan

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam satu kenyataan pada hari ini berkata bahawa Malaysia, sebuah negara yang bergantung kepada eksport, mungkin akan dikenakan sekatan perdagangan di tengah-tengah peningkatan proteksionisme dalam perang dagang di antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Dr Mahathir, yang tidak menyebut punca potensi sekatan itu berkata, beliau kecewa bahawa kedua-dua negara itu yang merupakan penyokong perdagangan bebas kini terlibat dalam amalan perdagangan yang terhad pada “skala yang besar”.

“Malangnya, kita (Malaysia) terperangkap. Dari segi ekonomi, kita terlibat dalam kedua-dua pasaran, dan secara fizikal kita juga terperangkap dari segi geografi. Ada kemungkinan kita juga akan menjadi sasaran sekatan,” katanya merujuk kepada perang dagang AS-China.

Difahamkan, AS dan China merupakan dua daripada tiga destinasi eksport yang terbesar untuk Malaysia di antara bulan Januari dan Ogos pada tahun ini. Singapura merupakan destinasi yang utama.

Dalam usaha mengurangkan impak pertembungan di antara kedua-dua kuasa dunia itu, Dr Mahathir berkata bahawa Malaysia sedang meningkatkan kerjasama dengan jiran-jiran serantau.

Beliau turut meluahkan kekecewaannya kerana dibuli oleh negara-negara yang berkuasa, merujuk kepada kempen negara-negara Eropah yang membantah tanaman minyak sawit, iaitu komoditi yang amat penting bagi Malaysia.

Minyak sawit menyumbang 2.8% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lepas dan 4.5% bagi jumlah keseluruhan eksport.

“Setelah menebang kebanyakan hutan dan enggan mengurangkan pelepasan (gas) yang berbahaya, mereka kini sedang cuba untuk memiskinkan lagi golongan miskin dengan menghalang mereka daripada menebang hutan untuk ruang hidup dan memperoleh pendapatan,” ujarnya.

Pada awal tahun ini, Kesatuan Eropah (EU) telah meluluskan sebuah Akta untuk menghentikan penggunaan minyak sawit daripada bahan api yang boleh diperbaharui menjelang tahun 2030 atas ‘kebimbangan’ penebangan hutan.

Wujud juga kebimbangan bahawa India, yang merupakan salah satu pembeli terbesar minyak sawit Malaysia, akan menyekat import produk itu akibat perbalahan diplomatik susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Mahathir terhadap tindakan berkontroversi terbaru New Delhi di wilayah Kashmir yang dipertikaikan.

Sumber: NST

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button