Isu SemasaTempatan

Mengapa Ramai Warga Asing Berminat Untuk Membeli Kediaman Di Malaysia?

Langkah kerajaan Malaysia dalam memastikan rumah-rumah mewah yang tidak terjual dibeli oleh warga asing hanya akan berjaya sekiranya negara menjadi satu lokasi yang menarik.

Sehubungan dengan itu, felo kanan Institute for Democracy and Economic Affairs, Dr Carmelo Ferlito mempercayai bahawa Malaysia adalah satu lokasi yang menarik buat warga asing.

“Nilai ambang rendah sebanyak RM600,000 untuk pemilikan asing akan menjadi lebih menarik bagi penduduk/pekerja asing berbanding pelabur, memandangkan proses penempatan menjadi semakin mudah sekiranya hartanah dapat dibeli dengan harga lebih murah.”Bagi pelabur asing, saya percaya bahawa mereka akan kekal dengan hartanah bernilai tinggi,” katanya.

Jelas Dr Carmelo, terdapat keperluan untuk membezakan di antara pelabur asing dan penduduk/pekerja asing.

Beliau turut menyarankan agar nilai ambang untuk pelabur dikekalkan, sementara meliberalisasikan sepenuhnya pasaran bagi penduduk/pekerja asing yang telah bekerja di Malaysia bagi tempoh tertentu.

Dalam pada itu, penilai hartanah di Asiacap Valuer & Property Consultants, Kit Au Yong menyatakan bahawa Malaysia mempunyai kelebihan dari segi aspek sosio-budaya.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum dengan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, ia memudahkan pembeli asing untuk menyesuaikan diri.

“Walau bagaimanapun, kita mempunyai persaingan dari destinasi-destinasi lain di dalam rantau ini seperti Thailand, di mana pembelian rumah di kawasan bandar adalah lebih mudah, kos sara hidup yang berpatutan, dan persekitaran yang lebih bebas.

“Singapura juga adalah pilihan yang bagus kerana keselamatan, kecekapan, dan imej tadbir urus yang baik, tetapi pasarannya hanya memenuhi bajet yang lebih besar.

“Australia pula mempunyai lebih banyak perkara yang ditawarkan dari segi gaya hidup dan keselamatan, antaranya,” ujar beliau.

Tambah Kit, Malaysia merupakan lokasi yang menarik bagi sasaran pasaran tertentu, termasuk pembeli bajet pertengahan yang menggemari kehidupan bandar seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bahru.

Jelasnya lagi, nilai mata wang ringgit yang lemah juga menyumbang kepada kemampuan warga asing untuk membeli rumah di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Paramount Property Sdn Bhd, Beh Chun Chong berkata, Malaysia adalah destinasi yang menarik untuk didiami, bekerja, dan berehat.

“Bagi warga asing yang berminat untuk melabur di Malaysia, mereka kini mempunyai akses kepada kondominium dan pangsapuri yang berharga daripada RM600,000, berbanding RM1 juta ke atas.

“Walaupun Paramount Property tidak berdepan masalah rumah tidak terjual, kami menjangkakan sedikit pemulihan dalam situasi rumah tidak terjual di dalam negara dengan pengurangan harga bagi warga asing.

“Sama ada ia akan meningkatkan pemilikan asing adalah perkara yang kedua,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Juwai.com Kuala Lumpur, Georg Chmiel pula berkata, data syarikatnya menunjukkan bahawa Malaysia adalah destinasi kelima paling popular bagi pembeli-pembeli dari tanah besar China.

“Pembeli dari Hong Kong-China mempunyai minat yang kuat terhadap Malaysia dan negara itu juga menerima lebih banyak pertanyaan pembeli berbanding mana-mana negara lain.

“Malaysia juga adalah destinasi pelaburan yang menarik bagi pembeli dari Singapura,” jelasnya.

Menurut Chmiel, faktor-faktor yang menjadikan Malaysia menarik di mata pembeli adalah gaya hidup, perkhidmatan persaraan dan pendidikan.

Selain itu, program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), kualiti hidup yang tinggi, kemudahan perubatan dan akses kepada institusi pendidikan, turut menjadi antara tarikan utama.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button