Isu SemasaTempatan

Lebih 80,000 Kes Bankrap Direkodkan Dalam Tempoh Lima Tahun

Lebih daripada 80,000 kes bankrap yang direkodkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (DIM) sejak lima tahun lalu dari Januari 2015 sehingga Ogos 2019.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong berkata, data rasmi menunjukkan bahawa 35% atau 28,296 kes bankrap, iaitu jumlah yang tertinggi, membabitkan individu berusia di antara 35 dan 44 tahun sepanjang tempoh lima tahun berkenaan, diiukuti golongan berumur 25 – 34 tahun dengan 20,461 kes (25.3%).

Sebanyak 10,415 kes (13%) pula adalah mereka yang berusia lebih 55 tahun, manakala 476 kes (0.6%) adalah individu berumur 25 tahun dan ke bawah.

Mengikut jantina pula, hampir 70% individu yang memfailkan muflis adalah lelaki, dengan 56,173 kes, manakala baki 30% lagi adalah wanita.

Statistik kes kebankrapan mengikut kaum pula adalah seperti berikut:

Melayu: 45,147 (62.7%)

Cina: 20,914 (26%)

India: 9,127 (11.3%)

“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mengurangkan kadar kebankrapan di Malaysia. Tidak dinafikan bahawa belia pada zaman ini terpengaruh dengan trend-trend terkini yang menyebabkan golongan ini berbelanja melebihi kemampuan mereka.

“Pentadbiran kini sedang berusaha untuk membantu golongan ini dengan menyediakan kesedaran dan pemahaman tentang risiko dan kesan kebankrapan,” kata Liew di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Puncak Borneo (PH) Willie Mongin, yang bertanya tentang jumlah rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap sejak tahun 2015 sehingga Ogos 2019, dan strategi kerajaan bagi membantu mereka.

Setakat ini, DIM telah menyelesaikan kira-kira 30,000 kes, sekali gus menurunkan jumlah keseluruhan kes kepada 300,908 setakat Ogos 2019.

Difahamkan, penghujung tahun 2018 merekodkan 303,415 kes kebankrapan di Malaysia.

“Saya rasa ini adalah petanda yang baik,” ujar Liew.

Pada Ogos, The Malaysian Reserve (TMR) melaporkan bahawa penggunaan kad kredit secara tidak terkawal dan pinjaman peribadi yang berlebihan merupakan punca ribuan rakyat Malaysia, di mana kebanyakannya sudah berkahwin, menjadi muflis.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button