AntarabangsaIsu Semasa

Baru Sekejap Ditahan, Pihak Berkuasa Mexico ‘Terpaksa’ Bebaskan Anak Raja Dadah El Chapo

Sebuah insiden tembak-menembak telah berlaku di bandar Culiacan pada Khamis, 17 Oktober 2019, di antara pasukan keselamatan Mexico dan anggota-anggota kartel Sinaloa, yang sebelum ini diketuai oleh raja dadah Joaquin “El Chapo” Guzman.

Anggota-anggota Sinaloa itu dikerahkan di seluruh bandar tersebut dan dilengkapi dengan senjata-senjata gred tentera.

Difahamkan, pertempuran tercetus selepas pihak berkuasa menahan salah seorang anak lelaki El Chapo, iaitu Ovidio Guzman yang kini muncul sebagai seorang individu yang disanjung tinggi dalam kartel sejak penahanan bapanya pada tahun 2016.

Tetapi, pihak berkuasa kemudian memutuskan untuk membebaskan Ovidio berikutan tindak balas dasyat daripada kartel yang menjadikan bandar itu seperti ‘medan peperangan’.

Bukan itu sahaja, malah terdapat juga beberapa orang banduan yang berjaya melarikan diri ketika kekecohan itu sedang berlangsung.

Menteri Keselamatan Mexico, Alfonso Durazo dalam satu kenyataan berkata, Ovidio dibebaskan oleh pihak berkuasa “untuk melindungi nyawa” orang ramai.

Insiden yang menyaksikan penahanan dan pembebasan segera Ovidio¬† – salah seorang pengedar dadah paling dikehendaki di Mexico –¬† menunjukkan kelemahan kerajaan negara itu dalam memerangi sindiket dadah.

Kartel dadah tersebut masih kekal utuh walaupun ‘rajanya’, El Chapo sudah ditahan dan didakwa di mahkamah.

Dalam sebuah video, pegawai-pegawai kanan dari agensi keselamatan Mexico menceritakan bagaimana ejen pihak berkuasa diserang oleh kumpulan bersenjata dari sebuah rumah ketika sedang melakukan rondaan.

“Anggota (pasukan keselamatan) membalas serangan dan mengawal rumah tersebut, yang mana mereka menjumpai empat individu.

“Salah seorang dikenal pasti sebagai Ovidio Guzman Lopez. Ini menyebabkan pelbagai kumpulan jenayah terancang mengepungi rumah itu dengan senjata yang lebih hebat daripada pihak berkuasa.

“Di samping itu, kumpulan-kumpulan lain bertindak ganas terhadap penduduk-penduduk di pelbagai bahagian bandar itu, mencetuskan huru-hara,” ujar Durazo.

Pada asalnya, Durazo tidak mengesahkan sama ada Ovidio telah ditahan atau dibebaskan, sekali gus menyebabkan ramai pakar keselamatan keliru.

“Tetapi, adakah Ovidio ditahan atau dikembalikan kepada narcos (kartel dadah)?,” soal seorang penganalisis bernama Hector de Mauleon menerusi Twitter.

Dalam tempoh kira-kira satu jam, Reuters dan beberapa agensi berita Mexico melaporkan bahawa Ovidio telah dibebaskan.

Walau bagaimanapun, Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrado atau lebih dikenali sebagai AMLO tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung serangan itu.

Apabila didekati oleh beberapa individu yang merakam beliau, AMLO diajukan soalan tentang Sinaloa.

“Kita bercakap mengenainya esok,” balas beliau.

Sementara itu, pengarah keselamatan awam Sinaloa, Cristobal Castaneda mendedahkan bahawa di antara 20 dan 30 banduan telah melarikan diri dari penjara ketika insiden itu berlaku.

Namun, sesetengah daripada mereka dilaporkan telah berjaya ditangkap semula.

Sumber: The Washington Post

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button