Isu SemasaTempatan

84% PKS Menjadi Mangsa Serangan Siber Pada Tahun 2018

Sebuah kaji selidik mendapati bahawa 84% perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia telah menjadi mangsa serangan siber pada tahun 2018.

Menurutnya, 67% PKS tempatan turut mempunyai pandangan yang salah bahawa syarikat-syarikat besar lebih berisiko untuk terkena serangan siber berbanding perniagaan-perniagaan kecil.

Pengurus siber Chubb Asia Pacific, Andrew Taylor berkata, salah faham itu amat membimbangkan.

“Ketidaksedaran membuka pintu kepada serangan-serangan berniat jahat, pencerobohan dan tindak balas yang tidak memadai pada masa akan datang.

“Malah, syarikat-syarikat kecil lebih terdedah kepada risiko siber kerana saiz dan sumber mereka (yang terhad), serta kekurangan modal untuk melabur dalam peralatan-peralatan pengurusan risiko siber,” katanya.

Laporan Kesediaan Siber PKS yang diterbitkan oleh Chubb adalah berdasarkan kaji selidik yang membabitkan 1,400 responden dari 400 PKS di Malaysia, Australia (400), Hong Kong (300), dan Singapura (300).

Responden terdiri daripada 82% eksekutif peringkat lembaga pengarah dan 18% pengurus kanan atau pengarah di bawah peringkat lembaga pengarah dari PKS yang mempunyai di antara dua dan 249 kakitangan.

Kaji selidik itu turut mendedahkan bahawa terdapat perbezaan dari segi kesediaan siber dalam kalangan PKS yang berlainan saiz.

Bagi PKS yang mempunyai 100 – 249 kakitangan, 70% mempunyai pelan kontingensi sekiranya berlaku pencerobohan data berbanding 53% dalam kalangan PKS lebih kecil yang mempunyai kurang daripada 50 kakitangan.

“PKS Malaysia lebih pantas bertindak dalam insiden siber berbanding pasaran-pasaran lain yang dikaji, dengan 67% dapat meneruskan operasi dalam tempoh 12 jam selepas berlaku insiden siber.

“2/3 (66%) menunjukkan bahawa semua orang yang terlibat mengetahui protokol yang betul dan tindak balas krisisnya berjalan seperti yang dirancang,” menurut laporan itu.

Dalam pada itu, kaji selidik berkenaan mendapati bahawa 48% insiden siber berlaku akibat kesilapan manusia atau pentadbiran, di mana rekod-rekod pelanggan menjadi data yang paling kerap diceroboh.

Insiden-insiden siber lain yang biasa berlaku dalam kalangan PKS adalah gangguan rangkaian komputer, seperti yang dialami oleh 44% perniagaan, sementara 35% terjejas oleh serangan ransomware dan phishing kerana kakitangan mereka mengklik pautan-pautan e-mel yang berniat jahat.

Memandangkan kesilapan manusia menjadi penyebab yang paling biasa membawa kepada insiden siber, kaji selidik itu menyatakan bahawa 37% ketua PKS tempatan berkata, pemahaman kakitangan mereka yang kurang baik tentang potensi ancaman siber mencabar keupayaan mereka untuk melindungi perniagaan daripada risiko-risiko berkaitan.

Sumber: The Malaysian Reserve

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button