Isu SemasaTempatan

Hanya 15% Pekerja Asing Dalam Tenaga Kerja Negara Menjelang 2020

Kerajaan sasar untuk menetapkan jumlah pekerja asing dalam tenaga kerja negara pada 15% sahaja menjelang tahun 2020.

Kementerian Sumber Manusia (KSM), menerusi jawapan bertulis yang diterbitkan dalam portal rasmi Parlimen berkata, sasaran itu adalah selaras dengan objektif kerajaan untuk melahirkan warganegara tempatan yang berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

“Dasar semasa kerajaan ialah mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Kerajaan hanya memberikan kebenaran untuk menggajikan pekerja asing dalam sektor dan sub-sektor tertentu, yang dikenal pasti kurang diminati oleh rakyat tempatan, seperti sektor pembinaan, perkilangan, pertanian, perladangan, perkhidmatan dan perlombongan serta pertanian,” kata kementerian itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Johor Bahru (PH), Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mahu KSM menyatakan sama ada terdapat keperluan untuk menetapkan kuota pengambilan dan pemberian gaji yang setimpal untuk pekerja tempatan sebagai pekerja buruh dalam sektor 3D – berbahaya, kotor, dan sukar (dangerous, dirty and difficult).

Selain itu, KSM turut berkata bahawa kerajaan akan mengenakan syarat ketat ke atas majikan yang ingin mengambil pekerja asing, di mana mereka diwajibkan untuk mengiklankan kekosongan sesuatu jawatan dalam portal JobsMalaysia terlebih dahulu, sebelum dikeluarkan Perakuan JobsMalaysia.

Difahamkan, langkah ini bertujuan untuk memastikan pengisian kekosongan sesuatu jawatan itu akan mengutamakan rakyat tempatan walaupun dalam kategori pekerjaan asas.

“Semua permohonan penggajian pekerja asing diwajibkan dibuat dalam talian menerusi Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx).

“Setiap permohonan akan disiasat oleh pegawai Jabatan Tenaga Kerja bagi memastikan kesahihan majikan, keperluan sebenar mengikut kelayakan, usaha mendapatkan pekerja tempatan, pematuhan undang-undang perburuhan dan penyediaan perumahan pekerja,” katanya.

Sementara itu, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Perintah Gaji Minimum 2016) juga akan dikuatkuasakan oleh KSM dalam usaha menarik pekerja tempatan untuk bekerja di sektor-sektor 3D.

Menurut KSM, pelaksanaan akta ini diharap mampu menghalang majikan daripada membayar gaji rendah dalam beberapa sub-sektor tertentu yang mendorong mereka untuk mengambil pekerja asing.

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button