AntarabangsaIsu Semasa

Australia: Ancaman Pelampau Berhaluan Kanan Semakin Meningkat

Pertubuhan Keamanan dan Perisikan Australia (ASIO) di dalam laporan tahunannya yang diterbitkan baru-baru ini mendedahkan bahawa ancaman puak pelampau berhaluan kanan di Australia semakin meningkat, sambil menyifatkan rangkaian pelampau juga kini lebih “kohesif dan teratur”.

Malah, agensi perisikan itu turut menambah bahawa rangkaian esktremis berhaluan kanan bukan sahaja lebih teratur, tetapi juga lebih canggih berbanding sebelum ini.

“Kumpulan pelampau berhaluan kanan di Australia kini lebih kohesif dan teratur berbanding tahun-tahun kebelakangan ini, dan mereka akan terus menjadi ancaman yang kekal,” kata ASIO.

Ujarnya lagi, serangan pengganas di masjid di Christchurch, New Zealand yang meragut nyawa 50 mangsa turut “menjadikan ancaman pelampau berhaluan kanan kembali menjadi tumpuan.”

Dalang insiden Christchurch, Brenton Tarrant yang merupakan pelampau kulit putih warga Australia, didakwa melancarkan tersebut di New Zealand pada bulan Mac.

ASIO meramalkan bahawa sebarang serangan pelampau berhaluan kanan di Australia pada masa akan datang berkemungkinan “berkeupayaan rendah”, dan dilaksanakan secara berseorangan (lone wolf) atau dalam kumpulan kecil.

Namun pada masa yang sama, ia tidak menolak kemungkinan bahawa serangan-serangan yang mungkin berpotensi dilancarkan akan menyaksikan penggunaan “senjata-senjata canggih.”

Undang-undang senjata api yang ketat di Australia dilaporkan berjaya membantu mengekang insiden serangan rambang seperti yang berlaku di Christchurch.

Berdasarkan perisikan, ASIO berkata bahawa secara keseluruhan, ancaman pengganas di Australia “kekal tinggi”.

Keruntuhan militant IS di kubu kuat mereka juga dilaporkan tidak menambah baik keadaan ancaman dengan ketara.

“Ancaman keganasan tempatan, ditambah lagi dengan cubaan sesetengah pejuang pengganas untuk pulang semula ke Australia, masih kekal menjadi kebimbangan keselamatan utama,” katanya.

Difahamkan, Australia memperkenalkan undang-undang anti-keganasan baru yang berkontroversi pada bulan Julai.

Undang-undang tersebut melarang warganegaranya yang berjuang untuk IS daripada kembali semula ke tanah air sehingga tempoh dua tahun.

Kerajaan Australia berkata, seramai 230 rakyatnya telah pergi ke Syria dan Iraq untuk berjuang bersama kumpulan militant itu, di mana 80 lelaki dan wanita masih lagi berada di zon konflik aktif.

Sumber: Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button