Isu SemasaTempatan

Operasi Ketenteraan Turki Di Syria: Militan Boleh ‘Ambil Kesempatan’ Lari Dari Penjara

Ramai pejuang militan IS yang direkrut dari Malaysia dan Indonesia telah ditempatkan di penjara-penjara di Syria sejak keruntuhan kumpulan pengganas itu pada awal tahun ini.

Secara keseluruhan, penjara-penjara tersebut dipadati dengan kira-kira 12,000 pejuang, di mana 2,000 daripadanya adalah militan yang datang dari negara-negara selain Iraq dan Syria.

Penjara itu dikawal oleh kumpulan pemberontak Kurdish di timur laut Syria yang aktif memerangi IS dan pasukan kerajaan sepanjang Perang Saudara negara tersebut yang kini memasuki tahun ke-8.

Mereka juga dilaporkan telah memainkan peranan penting dalam menewaskan IS sebagai sebahagian daripada Syrian Demokratik Forces (SDF), iaitu sebuah pasukan gabungan tentera Kurdish dan Arab yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS), Britain, dan Perancis.

Walau bagaimanapun, keputusan mengejut Presiden AS, Donald Trump pada minggu lepas untuk mengundurkan tenteranya dari kawasan itu, telah membuka jalan kepada Turki – yang menganggap pemberontak Kurdish sebagai pengganas – untuk mengisi kekosongan berkenaan.

Beberapa hari selepas itu, Turki bertindak melancarkan serangan ke atas pasukan Kurdish, di mana Presiden Recep Tayyip Erdogan menyifatkan tindakan tersebut sebagai usaha memerangi kegansan di sempadan selatan Turki.

TAHANAN IS BERPOTENSI MELARIKAN DIRI

Walau bagaimanapun, negara-negara Eropah menggesa Ankara untuk menghentikan operasi ketenteraannya dengan segera.

Susulan itu, pakar-pakar anti-keganasan dan juga Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran bahawa pergolakan yang sedang berlaku ini berpotensi menyebabkan tahanan militan IS bebas melarikan diri.

Keadaan ini turut mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa di Malaysia dan Indonesia, memandangkan terdapat 65 rakyat Malaysia dan “beberapa ratus” warga Indonesia yang sedang berada di Syria.

Putin dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu berkata:

“Sekarang, tentera Turki memasuki kawasan itu, dan Kurdish meninggalkan kem-kem ini. Tahanan boleh melarikan diri.”

Namun sebelum ini, Trump pernah berkata bahawa sesetengah tahanan militan yang paling berbahaya telah dipindahkan “ke kawasan lain yang lebih terjamin.”

Pada Sabtu baru-baru ini pula, sebuah bom kenderaan telah diletupkan berhampiran penjara yang menempatkan anggota militan IS, sekali gus memaksa pasukan SDF untuk menghantar tentera ke sana bagi menghalang tahanan melarikan diri.

Ahmet Yayla, seorang pensyarah undang-undang jenayah di DeSales University di AS menyatakan bahawa keadaan yang tidak menentu tersebut memberi peluang kepada pejuang IS untuk melarikan diri.

Difahamkan, pasukan Kurdish hanya mempunyai 400 anggota untuk mengawal kesemua 12,000 tahanan. Keadaan akan bertambah sukar buat mereka kerana terpaksa berdepan operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh Turki.

“Sekiranya 12,000 tahanan itu bangkit, mereka boleh mengalahkan pengawal-pengawal itu dengan mudah. Mereka akan membunuh pengawal dan melarikan diri,” tegas Yayla.

Jelas beliau, cubaan untuk meloloskan diri telah pun berlaku pada Rabu minggu lalu.

Selain daripada pejuang-pejuang IS yang berada dalam penjara, terdapat juga kira-kira 70,000 isteri dan anak-anak mereka yang ditempatkan di kem penempatan, di mana segelintir tahanan dilaporkan pernah menyerang dan mencederakan pengawal.

Pada Ahad pula, pihak berkuasa Kurdish berkata bahawa hampir 800 orang ahli keluarga pejuang IS telah lari daripada kem mereka yang terletak berhampiran kawasan operasi ketenteraan Turki.

MILITAN AKAN KEMBALI KE NEGARA SECARA SENYAP

Di Malaysia dan Indonesia, pihak berkuasa menjelaskan bahawa pejuang-pejuang berkenaan mungkin akan cuba pulang semula ke tanah air secara senyap.

“Terdapat kemungkinan mereka akan melarikan diri dan pergi ke negara ketiga atau kembali ke Malaysia.

“Jika mereka pulang ke Malaysia, kemungkinan besar mereka akan merekrut anggota-anggota baru dan melancarkan serangan. Daripada 65 rakyat Malaysia itu (di utara Syria), 11 adalah pejuang IS yang sedang berada di penjara,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipenganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Tambah beliau, 40 orang lagi daripada jumlah itu – termasuk wanita dan pejuang – mahu kembali ke Malaysia.

Setakat ini, seramai 11 rakyat Malaysia dari Syria dilaporkan sudah pulang ke tanah air, di mana 8 daripada mereka – semuanya lelaki – telah didakwa di mahkamah dan disabitkan bersalah atas kesalahan berkaitan kegiatan keganasan.

“Pertempuran terkini akan menyukarkan lagi kami untuk membawa pulang rakyat kita,” jelas Ayob.

Walau bagaimanapun, warga Malaysia yang kembali semula ke negara perlu disoal siasat dan menjalani program deradikalisasi.

“Sekiranya sesiapa didapati terlibat dalam keganasan, mereka akan didakwa di mahkamah,” kata beliau.

Sementara itu, seorang pegawai kanan anti-keganasan Indonesia mendedahkan bahawa terdapat ratusan rakyat negaranya yang berada di Syria, termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Sekiranya mereka pulang menerusi laluan haram, ia akan menjadi sukar bagi kami untuk mengesan mereka,” katanya sambil menambah bahawa kepulangan mereka akan ‘memulihkan’ semula rangkaian pengganas tempatan.

Sumber: NST – South China Morning Post

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button