AntarabangsaIsu Semasa

Akibat Terpalit Dengan Skandal Dadah, Ketua Polis Filipina ‘Bersara’ Sebulan Lebih Awal

Ketua Polis Filipina, Oscar Albayalde yang mengetuai kempen perang dadah brutal yang diperkenalkan oleh Presiden Rodrigo Duterte sejak tahun 2016, telah meletak jawatan pada Isnin baru-baru ini susulan dakwaan bahawa beliau melindungi pegawai-pegawai polis yang menjual semula dadah-dadah hasil rampasan.

Walaupun skandal ini sudah bermula sebelum Albayalde dilantik menjadi ketua polis negara, ia menimbulkan kecaman terbaru terhadap kempen Duterte itu, yang menjadi antara faktor utama yang membuatkan beliau popular dalam kalangan rakyat Filipina.

Dalam perang dadah tersebut, polis dilaporkan telah membunuh ribuan suspek dan pengguna dadah sejak pertengahan tahun 2016, namun menurut pengkritik, golongan kaya dan berkuasa pula “tidak disentuh”.

Peletakan jawatan Albayalde berlaku beberapa hari selepas dua bekas pegawai polis mengaitkan beliau dengan sebuah serbuan pada tahun 2013 di sebuah daerah berhampiran Manila, yang menyaksikan polis melakukan rampasan sejumlah besar dadah jenis syabu dan kemudian menjualnya.

Seorang bekas pegawai mendakwa bahawa Albayalde melindungi anggota-anggota polis terbabit daripada dikenakan tindakan tata tertib, sementara  seorang lagi menuduh bahawa beliau telah menerima wang hasil daripada jualan dadah berkenaan.

Namun, Albayalde yang merupakan ketua polis daerah pada waktu itu, secara keras menafikan sebarang salah laku.

Beliau sepatutnya bersara dalam tempoh sebulan lagi (November) selepas dilantik menjadi ketua polis negara sejak April 2018.

“Saya berterima kasih kepada Presiden Rodrigo Roa Duterte di atas kepercayaan dan keyakinannya terhadap saya,” kata Albayalde ketika mengumumkan pengundurannya.

Walaupun isu ini telah hangat diperdebatkan dalam sesi pendengaran Senat selama berminggu-minggu, Duterte dikatakan masih berdiam diri berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini, beliau berikrar untuk menghapuskan rasuah dalam kalangan polis Filipina sehingga ke akar umbi, namun sering kali menzahirkan kekecewaan dan kemarahannya terhadap masalah itu.

Dalam pada itu, Neri Colmenares, seorang peguam yang mewakili keluarga-keluarga yang menggesa agar kempen brutal Duterte didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, menyifatkan tuduhan ke atas Albayalde sebagai perkara yang “amat memalukan.”

“Pegawai-pegawai PNP (polis) sendiri pun terlibat dalam dadah. Ini membuktikan apa yang kita telah katakan selama ini, bahawa (kempen perang dadah) ini hanya disasarkan ke atas golongan miskin,” kata Colmenares.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button