Ibu dan Anak

Adakah Anak Anda Sudah Bersedia Untuk Memasuki Sekolah Berasrama?

Adakah anda sedang mempertimbangkan anak anda untuk memasuki sekolah asrama? Sebagai ibubapa ia mungkin sesuatu keputusan yang sukar untuk dilakukan.

Sudah tentunya langkah pertama untuk lakukan ialah bermula dengan memilih sekolah yang baik tetapi terdapat juga beberapa perkara yang perlu diambil kira seperti ini..

1. Umur Anak

Kebanyakan sekolah asrama memiliki kriteria umur untuk memasukinya. Terdapat sekolah asrama yang menerima anak seawal 7 tahun tetapi sudah tentunya sebagai ibubapa kita akan merasa risau dengan menghantar anak pada usia yang sangat muda.

Walau bagaimanapun, sebagai ibubapa anda sudah pasti tahu apa yang terbaik untuk anak anda dan pasti sudah lihat sama ada anak anda sudah boleh berdikari dengan tinggal berjauhan dengan anda.

Jika anda tidak pasti, cuba lihat jika mereka sudah siap secara fizikal, mental dan emosional.

Menghantar anak anda ke asrama jika mereka belum siap dari semua segi ini akan membuat mereka sukar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang bakal dialami mereka sewaktu di asrama.

 

2. Adakah anak anda sangat bertanggungjawab?

Kehidupan di asrama akan memerlukan anak anda untuk belajar mandiri. Segala tugasan yang selama ini merupakan perkara yang anda sering fikirkan menjadi tanggungjawab mereka selepas ini. Mereka perlu mencuci baju sendiri dan membersihkan tempat tidur.

Perubahan tanggungjawab yang bakal mereka jalani mungkin akan mungkin dirasai terlalu membebankan sehingga anak anda menjadi tertekan dan tidak boleh fokus belajar.

 

3. Apakah faedah yang akan didapati

Apakah tujuan utama anda sebagai ibubapa mahu menghantar anak anda ke sekolah asrama? Adakah ianya supaya anak anda belajar berdikari dan bertanggungjawab? Atau ianya tekanan daripada orang sekeliling? Atau kerana anda rasa ia dapat memastikan anak anda mendapat peluang yang lebih cerah untuk pendidikan di institusi pengajian tinggi?

Adalah sebaiknya anda mengasingkan perkara yang anda inginkan dan melihat dari perspektif anak anda kerana mereka yang bakal mengalami kehidupan di asrama dan bukan anda.

 

4. Adakah anak anda bersetuju dengan pendapat untuk ke asrama?

Perkara ini adalah amat penting untuk diambil kira. Anak anda perlu merasa selesa dengan keputusan untuk tinggal di asrama. Anda mungkin akan merasa bersedia untuk anak anda meninggalkan rumah tetapi adakah anak anda mahu melakukannya?

Keempat-empat perkara di atas perlu difikirkan bersama oleh anda dan anak anda. Beritahu mereka apakah yang akan berlaku jika mereka ke asrama dan bantu mereka untuk membuat keputusan.

Anak-anak sekarang adalah lebih terbuka untuk berbincang tentang pendapat dan perasaan mereka. Oleh itu mereka berhak untuk menyuarakan pendapat.

Janganlah memaksa mereka untuk mendaftar ke sekolah asrama padahal mereka sama sekali tidak mahu kerana perkara ini akan mudah mengganggu emosi dan mental mereka.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button