Sukan

“Yang Minta Cheng Hoe Letak Jawatan Duduk Planet Lain Tak Tahu Pasal Bola Sepak”

Setelah kekalahan Harimau Malaya di tangan pasukan tuan rumah Vietnam di  Stadium My Dinh, Hanoi baru-baru ini, ada sahaja orang yang tidak puas hati dan sanggup berkata-kata buruk sehinga mahukan pengendali pasukan negara Tan Cheng Hoe dipecat.

Susulan daripada kenyataan pihak yang tidak bertanggungjawab, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan membidas sikap mereka itu.

“Yang minta Cheng Hoe letak jawatan ini dia duduk planet lain dan tak tahu pasal bola sepak. Saya sedih dalam zaman moden macam ini masih ada rakyat Malaysia yang berfikiran seperti ini. Mungkin mereka tak ada kerja selain mengkiritik orang sahaja.

 

Kalau pecat Cheng Hoe, kita nak bawa siapa?

“Takkan lah sebab kita kalah kepada Vietnam yang memang bagus dan bermain pula di tempat mereka, ia dijadikan alasan untuk pecat Cheng Hoe. Kalau pecat Cheng Hoe, kita nak bawa siapa? Tengok pasukan Indonesia bawak mat saleh (Simon McMenemy) jadi jurulatih, pasukan mereka tak ke mana juga.

“Tengok juga pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pakai Van Marwijk sebagai jurulatih yang pernah bawa skuad Belanda ke final Piala Dunia 2010, tetapi datang Malaysia susah juga nak menang dengan pasukan negara. Jangan jadi penyokong yang tak cerdik,” katanya kepada Sinar Harian.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan. Sumber Imej: NST

Menurutnya, penyokong tidak seharusnya menyalahkan Cheng Hoe dan mengkritik taktikal yang digunakannya dalam perlawanan kelayakan tersebut.

 

Cheng Hoe setakat ini cukup baik

Malah, katanya, beliau menilai hasil kerja Cheng Hoe setakat ini cukup baik selain mahukan penyokong supaya tidak menjadikan kekalahan di laman keramat Vietnam itu sebagai penanda aras terhadap keupayaan sebenar pengendali berusia 51 tahun itu.

Cheng Hoe menempa kekalahan kedua dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila tunduk kepada Vietnam 0-1 dan sebelum itu tewas tipis kepada UAE 1-2 pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan lalu.

 

Dua Kekalahan Terus Nak Pecat?

Ekoran dua kekalahan itu, terdapat segelintir pemerhati dan penyokong yang mahu Cheng Hoe dipecat selain mempertikaikan taktikal yang digunakan bekas pengendali Kedah itu yang masih belum mampu menewaskan Vietnam walaupun telah diperkuat empat pemain naturalisasi.

Mengulas lanjut, kata Sathianathan, beliau melihat banyak peningkatan yang telah dipamerkan dalam pasukan negara pada ketika ini berbanding beberapa tahun lalu.

 

Realistik lah sikit.

“Kita masih ada lima perlawanan lagi dengan tiga perlawanan bermain di tempat sendiri. Saya yakin mereka boleh menang. Tetapi janganlah penyokong nak Malaysia jadi juara kumpulan. Realistik lah sikit.

“Bagi saya, sekarang ini mereka sedang membina pasukan dan nampak perkembangan mereka semua. Kalau dulu pasukan hebat macam Vietnam dan UAE kalau jumpa kita, mereka macam tak kisah. Sekarang mereka pun risau dengan kemampuan kita.

“Ranking pasukan negara pun dah naik. Kalau orang tak boleh terima kenyataan dan tak ada dalam bidang bola sepak ini, jangan pandai-pandai nak bersuara,” katanya.

 

Malaysia Dijangka Mendapat Laluan Mudah Untuk Sukan SEA 2019

Di lain acara, skuad bawah 22 tahun (B-22) negara dijangka berdepan laluan mudah dalam saingan kumpulan acara bola sepak pada temasya Sukan SEA Filipina 2019, November ini setelah sesi undian yang berlangsung di Filipina melihatkan Malaysia diundi ke dalam Kumpulan A bersama pasukan tuan rumah, Myanmar, Kemboja dan Timor Leste.

Pada masa sama, skuad wanita kebangsaan mampu menarik nafas lega selepas turut menerima undian selesa pada majlis undian yang sama dengan berada di dalam Kumpulan A bersama Myanmar dan Filipina.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button