Presiden Xi Jinping baru-baru ini memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan untuk memecah-belahkan China akan menyaksikan “tubuh badan dihancurkan dan tulang menjadi remuk.”
Menurut Kementerian Luar China dalam satu kenyataan, Xi mengeluarkan amaran tersebut pada hujung minggu lalu ketika mengadakan lawatan ke Nepal.
Difahamkan, beliau juga merupakan Presiden China yang pertama untuk mengunjungi Nepal dalam tempoh 22 tahun.
“Sesiapa yang cuba untuk memecah-belahkan mana-mana wilayah dari China akan binasa, dengan badan mereka dihancurkan dan tulang-tulang menjadi remuk.
“Mana-mana kuasa luar yang menyokong perpecahan China hanya boleh dianggap ‘berkhayal’ oleh rakyat China,” katanya.
Walaupun tidak menyebut mana-mana wilayah secara terperinci, amaran tersebut dikeluarkan susulan pertempuran terbaru penunjuk perasaan pro-demokrasi dan polis anti-rusuhan di Hong Kong.
Protes tercetus di pelbagai kawasan di Hong Kong, di mana sesetengah penunjuk perasaan melakukan sekatan jalan, mensabotaj landasan kereta api, dan memusnahkan perniagaan-perniagaan pro-China di hab kewangan itu.
Difahamkan, China menuduh kuasa luar “mencurah minyak ke dalam api” dalam pergolakan di bandar berautonomi itu yang kini sudah berlanjutan selama empat bulan.
Dalam pada itu, wujud kebimbangan bahawa China mungkin akan mengerahkan tentera untuk menamatkan pergolakan tersebut.
Namun, Beijing setakat ini menzahirkan keyakinan bahawa pasukan polis Hong Kong mampu menangani protes berkenaan.
Beberapa penganalisis pula berpandangan bahawa Beijing berpotensi untuk berdepan kecaman antarabangsa sekiranya berlaku senario seperti pada tahun 1989.
Pada waktu itu, China melaksanakan mengerahkan kereta kebal dan anggota tentera untuk menangani protes pro-demokrasi yang diadakan di Tiananmen Square, sehingga menyebabkan lebih daripada 1,000 kematian.
Sumber: The StarĀ