Isu SemasaTempatan

Bodoh, busuk – makanan harian mereka di sekolah

Wanita Orang Asli Bersuara Tentang Hak Mereka Mendapatkan Pendidikan Tanpa Prejudis & Buli

Sewaktu dia berusia 10 tahun, impiannya untuk ke sekolah akhirnya berjaya direalisasikan untuk Nora Kantin yang berasal dari suku Temiar di Gua Musang, Kelantan.

Walaupun usianya 1 tahun lebih tua daripada rakan sekelasnya, Nora tetap bersemangat untuk belajar bagaimana untuk membaca dan menulis tetapi kegembiraan dan semangatnya terkubur apabila dia dibuli oleh rakan sebayanya kerana lahir sebagai orang asli.

Pengalamannya di sekolah terus bertukar menjadi mimpi ngeri sehingga dia berhenti bersekolah pada darjah lima.

“Ada pelajar yang berkata kepada saya dia tidak mahu berkawan dengan saya kerana orang asli busuk,” kenang Nora yang kini berusia 31 tahun dan sangat bersungguh-sungguh untuk empat anaknya menghabiskan sekolah.

“Selain dibuli, saya juga rasa hilang arah di sekolah, oleh sebab itu saya mengambil keputusan untuk berhenti sekolah. Namun kini saya menyedari betapa pentingnya pendidikan dan saya mahu anak-anak saya untuk belajar sejauh yang mereka boleh,” kata Nora kepada TheStar.

 

Buku Menyuarakan Hak Wanita Orang Asli

Kisah Nora ini merupakan di antara 18 wanita orang asli yang diceritakan di dalam buku Kami Pun Ada Hak Bersekolah: Wanita Orang Asli Bersuara.

Sumber Gambar: freedomfilm.my

Buku ini adalah untuk menyuarakan hak perempuan orang asli yang mampu mengubah komuniti mereka.

“Kisah peribadi yang dikomplikasikan diharapkan membuat kita lebih memahami apakah cabaran yang mereka lalui dan diharapkan boleh timbul penyelesaian untuk memastikan sokongan yang lebih baik ke atas komuniti orang asli di Malaysia,” kata Dr Rusaslina Idrus, Pensyarah Kanak Program Pengajian Gender dari Universiti Malaya yang merupakan salah satu ketua projek penerbitan buku ini.

“Cerita-cerita mereka telah menunjukkan halangan yang mereka perlu tempuhi seperti kemiskinan, kekurangan akses untuk ke sekolah serta infrastruktur yang baik. Terdapat juga kisah ketabahan yang membuat mereka gagah untuk melalui cabaran yang mendatang,” kata Dr Rusaslina.

 

“Bodoh” “Busuk” Merupakan Makanan Harian Anak Orang Asli

Selain Nora, Nabila Aris, 28 tahun turut mendapat kutukan yang sama apabila disekolah dengan kata-kata seperti “bodoh” dan “busuk” hanya kerana dirinya merupakan anak orang asli.

Bagi Eda binti Anjang, 17 tahun daripada suku Semai di Kampung Pawong, Simpang Pulai, Perak, rakan sekolahnya sanggup mengoyak serta menconteng baju sekolahnya sehingga membuat dirinya sedih dan akhirnya berhenti sekolah.

Perkongsian Yaliyana Lenab dari suku Semelai di Kampung Batu Peti di Rompin, Negeri Sembilan pula bercerita dia pernah dihina dengan berkata “orang asli makan katak, monyet dan babi.”

 

Guru Bersengkokol Mengeluarkan Kata-Kata Kesat

Namun begitu, mereka semua sepakat bahawa apa yang telah menyebabkan mereka bertambah sedih ialah bukan hanya mereka dibuli oleh para pelajar tetapi adakalanya kata-kata mengguriskan hati itu datangnya dari para guru juga.

Nabila mengenang dirinya yang pernah dipanggil ‘orang utan’ oleh beberapa guru di sekolahnya.

Malah ada guru yang sanggup berkata dia rasa lebih mudah untuk mengajar monyet daripada mengajar anak orang asli dan sanggup membiarkan pelajar lain membuli mereka yang pada masa sama mereka sedang bergelut untuk memahami pelajaran yang hendak disampaikan.

Itulah antara kisah yang dikongsikan oleh wanita orang asli dalam buku tersebut.

 

50% Anak Orang Asli Tidak Mahu Bersekolah

Yana yang kini 26 tahun percaya bahawa buli dan diskriminasi daripada para guru dan pelajar lain adalah di antara sebab mengapa terdapat ramai anak orang asli tidak mahu ke sekolah.

Menurut Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), daripada tahun 2010 hingga 2019, terdapat 22.4% orang asli yang berhenti di pengakhiran sekolah rendah dan di awal sekolah menengah.

Peratusan ini telah berkurangan berbanding tahun 2009 hingga 2014 yang pada waktu itu memiliki peratusan 40% hingga 50%.

 

Kemiskinan & Jarak Salah Satu Sebab Mereka Terpaksa Berhenti

Kebanyakan kisah wanita orang asli yang terpaksa meninggalkan sekolah adalah kerana mereka terlalu miskin atau sekolah mereka terletak jauh dari rumah.

Nabila merupakan salah satu daripadanya.

“Saya terpaksa berhenti sekolah kerana ayah sudah tidak ada lagi dan ibu tidak mampu menyekolahkan saya,” kata Nabila.

Bagi Wak Suri Yok Segera pula, keluarganya tidak mampu untuk menghantarnya ke sekolah kerana belanja sekolah dan pengangkutan adalah agak tinggi.

“Kita tidak memiliki cukup duit. Sekolah saya terletak jauh daripada kampung. Apabila hujan, ia sangat sukar untuk sampai ke sekolah kerana jalan yang dilalui sangat berlecak. Oleh itu saya terpaksa berhenti sekolah pada Tingakatan Dua,” kata Wak yang kini berusia 22 tahun dari suku Semai yang tinggal di Kampung Tibang, Slim River, Perak.

Sylvia Orfina Othman dari suku Temiar di Kampung Bal RPS, Gerik, Perak bersetuju bahawa perjalanan yang sukar dan jauh bagi orang asli untuk ke sekolah telah menyebabkan separuh daripada orang asli tidak mahu ke sekolah.

“Mereka harus bangun sebelum subuh menaiki bas, bot dan pacuan empat roda untuk ke sekolah.

Ramai tidak memiliki pengangkutan dan perlu berjalan kaki ke sekolah. Apabila cuaca buruk, perjalanan melalui hutan dan gunung-ganang akan menjadi lebih sukar dan memenatkan,” jelas Sylvia, 22 tahun.

 

Tidak Semua Mengalami Pahitnya Ada Yang Lebih Bernasib Baik

Namun lain ceritanya bagi Han Rusan Yok Lot dari Kampung Ganggai, Perak. Dia yang kini berusia 19 tahun dari suku Semai sedang mengambil diploma dalam Pendidikan Awal di sebuah kolej tempatan berkata ia sememangnya perbezaan yang ketara apabila rakan sekolah dan guru sangat menyokong kanak-kanak orang asli.

“Saya sangat bernasib baik untuk memiliki kawan yang faham tentang orang asli dan sangat baik dan ramah terhadap saya. Mereka menolong saya dalam pelajaran dan suka memberi dorongan kepada saya,” kata Han.

 

Bukan Salah IbuBapa Orang Asli

Umumnya kita fikir ibubapa orang asli tidak berfikir tentang kepentingan untuk mendapatkan pendidikan bagi anak-anak atau mereka tidak mahu menyokong dan membantu anak untuk dapatkan pendidikan, tetapi sebenarnya mereka sangat bekerja keras untuk memastikan anak mereka hadir ke sekolah.

Kebanyakan daripada mereka juga sanggup berkorban dan menghantar anak mereka ke asrama di usia yang sangat muda. Selalunya bermula dari usia 7 tahun.

Ada yang juga terpaksa memberi anak mereka kepada keluarga angkat supaya anak mereka mendapatkan pendidikan yang sewajarnya.

 

Kes Buli Masih Ada Sehingga Sekarang

Jika ada yang bertanya tentang keadaan sekolah yang dilalui oleh anak orang asli sekarang, bagi Nora yang memiliki anak di sekolah menengah, dia berkongsi bahawa tidak banyak perubahan yang berlaku sejak zaman persekolahannya.

“Salah satu anak lelaki saya dibuli sehingga ada yang mahu cuba untuk memotong rambutnya dan mengoyak baju sekolah,” kongsi Nora.

 

Kementerian Ambil Perhatian

Mendengar keluh resah orang asli tentang pendidikan, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching telah mengambil tahu tentang masalah yang dihadapi orang asli dan mahu mengambil langkah untuk meningkatkan kehadiran mereka di sekolah.

Beliau juga berharap ibubapa boleh melaporkan kejadian buli dan diskriminasi terutamanya jika berlaku dikalangan guru. Ia adalah supaya laporan dan siasatan boleh dijalankan dengan lebih lancar.

Sumber Imej: twitter.com

Orang Asli Menjadi Pendidik Untuk Hentikan Kes Buli

Sylvia kini menjadi guru sukarela di SK Segambut, Kuala Lumpur dengan harapan dia boleh pulang ke kampung untuk mengajar anak-anak di kampung halaman suatu hari nanti.

“Saya memasuki alam pendidikan kerana isu buli tetapi saya juga belajar bahawa pendidikan adalah sangat penting supaya kita boleh mengejar cita-cita dan memperbaiki kehidupan,” kata Sylvia.

 

Bantuan Kementerian Pendidikan Bersama Jakoa

Pihak Kementerian Pendidikan bersama Jakoa sedang mencari peluang untuk memberi latihan kemahiran bagi anak muda orang asli supaya mereka boleh memperbaiki kehidupan.

“Kami memiliki sebuah program khas untuk memberi peluang kepada pelajar orang asli memasuki universiti awam dengan syarat kemasukan yang minima di samping memberi mereka bantuan kewangan dan biasiswa. Namun saya juga merasakan terdapat pelbagai lagi perkara yang kami perlu lakukan,” kata Teo.

 

Ini Apa Yang Orang Asli Mahukan

Bagi Yana, apa yang betul-betul diperlukan ialah kesedaran dan orang ramai memahami komuniti orang asli.

“Jika para guru dan pelajar di sekolah dan juga orang awam boleh memahami budaya kami dan menerima kami seadanya, ia akan sangat membantu anak-anak kami untuk pergi ke sekolah dan meneruskan pembelajaran.

Mereka boleh mendapatkan peluang untuk melakukan sesuatu untuk diri mereka sendiri di samping membantu komuniti orang asli pada satu hari nanti.”

Sumber Imej: freedomfilm.my

Bagi yang berminat untuk mendapatkan buku mereka bertajuk ‘Kami Pun Ada Hak Bersekolah’, ia boleh didapati di freedomfilm.my dengan harga RM15.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button