Isu SemasaTempatan

Adakah Bajet 2020 “Belanjawan Kapitalis”?

Jumaat minggu lepas, Belanjawan 2020 telah dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat.

Belanjawan kali ini telah menerima pelbagai reaksi, termasuk daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyifatkannya sebagai “Belanjawan Kapitalis.”

Menurut Ismail, dengan peningkatan kos sara hidup, ramai rakyat Malaysia meletakkan harapan tinggi terhadap bajet tahun depan, namun harapan tersebut dihancurkan oleh Lim.

“Dalam erti kata lain, Belanjawan 2020 adalah ‘Belanjawan Kapitalis’ yang meminggirkan masyarakat luar bandar dan pedalaman yang lebih memerlukan perhatian.

“Yang kaya diutamakan, sementara golongan miskin dan memerlukan tidak dijaga,” kata beliau dalam ucapannya mengenai Belanjawan 2020 di Parlimen pada Isnin, 14 Oktober 2019.

Beliau turut menegaskan bahawa beberapa inisiatif yang diperkenalkan dalam belanjawan tersebut bertujuan untuk melindungi kepentingan kapitalis.

Di bawah Belanjawan 2020, pelaburan baru dalam projek taman tema antarabangsa diberi pengecualian cukai pendapatan 100% daripada pendapatan statutori.

Tambah beliau, dasar untuk mengurangkan nilai ambang untuk warga asing membeli hartanah di Malaysia juga hanya akan menguntungkan pemaju-pemaju yang berorientasikan keuntungan.

“Paling menyedihkan adalah tiada dasar atau inisiatif khas berskala besar untuk meningkatkan kualiti kehidupan penduduk di kawasan luar bandar dan golongan memerlukan,” ujar beliau.

Ismail yang merupakan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, Belanjawan 2020 turut menyaksikan elaun nelayan yang berkurang kepada RM250, berbanding RM300 ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN).

“Pada waktu-waktu yang mencabar ini, elaun tersebut sepatutnya ditingkatkan, bukan dikurangkan. Kita memerlukan dasar dan rancangan khusus untuk meningkatkan taraf hidup dan pendapatan golongan ini,” tegasnya.

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa belanjawan yang dibentangkan oleh Lim itu turut mengabaikan negeri-negeri yang diperintah oleh PAS, iaitu Kelantan dan Terengganu, memandangkan ia tidak menyediakan peruntukan bagi projek-projek berimpak tinggi di kedua-dua negeri tersebut.

Tegasnya, kerajaan persekutuan harus menyediakan peruntukan bagi pembangunan seperti yang digariskan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) bagi tahun 2016 – 2020, yang menekankan kepentingan untuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri.

RMK11 memberi tumpuan kepada negeri-negeri yang kurang maju seperti Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.

Ismail, Belanjawan 2020 hanya memberi peruntukan kepada Sabah, Sarawak, Kedah, dan Perlis, tetapi tiada peruntukan disediakan untuk Kelantan dan Terengganu.

“Di manakah peruntukan untuk projek berimpak tinggi bagi Kelantan dan Terengganu seperti yang ditegaskan oleh Pakatan Harapan (PH) sendiri dalam Kajian Separuh Penggal RMK11?

“Saya nak tanya Menteri Kewangan (Lim Guan Eng), adakah ini merupakan satu hukuman terhadap rakyat Kelantan dan Terengganu kerana mereka undi PAS (ketika PRU14)?

“Adakah kerana itu negeri-negeri ini dipinggirkan?” soalnya.

Ahli Parlimen Bera itu juga menuntut bahawa inilah masa yang tepat untuk memberi royalti minyak sebanyak 20% kepada Kelantan dan Terengganu memandangkan Belanjawan 2020 mendiskriminasi kedua-dua negeri tersebut.

Sumber: The Star, MalaysiaKini 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button