Bisnes & Ekonomi

Pernahkah Terlintas Di Fikiran Anda Untuk Bekerja Sepenuh Masa Menjadi Watak Anime?

Pekerjaan seperti ini sudah pasti tidak akan terlintas di fikiran anda tetapi kini hobi atau minat juga boleh bertukar menjadi tempat menjana kewangan.

Itulah yang dilakukan oleh seorang gadis mungil yang tinggal di sebuah flat HDB, Singapura. Gadis ini selalu mengenakan kanta lekap berwarna-warni mengikut kesesuaian watak yang dibawanya.

Mengambil masa hampir dua jam untuk bersiap, Reg yang berusia 22 tahun akan mengubah penampilannya menjadi watak anime atau permainan video yang dikehendaki. Pekerjaannya dikenali sebagai ‘cosplayer‘ ini dilakukannya secara sepenuh masa.

Reg dikenali sebagai Rea Kami di dalam komuniti cosplay yang menurutnya, di Singapura hanya dia dan seorang lagi yang melakukan pekerjaan ini sepenuh masa.

 

Boleh Menjana Pendapatan RM10 Ribu Ke Atas!

Pendapatannya boleh mencecah di antara S$3,500 hingga S$4,000 (RM10,611-RM12,127) pada bulan yang baik di mana terdapat banyak konvensyen cosplay dan anime.

Di konvensyen cosplay dan anime ini dia selalunya menjual cenderamata jenama sendiri dengan wajah serta namanya yang mana ia boleh mencecah sehingga S$300 (RM909) sebuah.

Selain itu dia juga aktif dalam perbualan di atas talian bersama para peminatnya dalam platform Discord sebagai salah satu aktiviti dalam pekerjaan yang dilakukan olehnya.

“Bagi saya, cosplay ialah bagaimana cara saya memberi tanda hormat kepada watak kegemaran saya dan menghidupkan watak tersebut,” katanya kepada The Straits Times.

Gadis yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik ini telah mula berjinak-jinak dalam cosplay ini sejak 2015 tetapi mula melakukannya sepenuh masa pada bukan Mac tahun lalu setelah mengambil ‘gap year‘ (tahun lompat) setahun setelah menamatkan pengajian diploma media komunikasi dari Ngee Ann Polytechnic.

Kini Reg memiliki 25,900 pengikut di instagram miliknya iaitu @ReaKami.

Di Singapura, cosplay telah beralih arah dari sesuatu yang kurang mendapat perhatian menjadi besar dan di aliran arus perdana apabila terdapat tujuh acara cosplay tahunan sehingga menjadi cosplayer boleh mengubah hobi mereka menjadi sebuah kerjaya.

Vanessa, 22 tahun yang merupakan cosplayer sepenuh masa yang Reg kenali. Dia telah berhenti kerja tetapnya tiga tahun lalu untuk menjadi cosplayer sepenuh masa setelah menyedari bahawa dia boleh mendapat pendapatan yang lebih melalui hobinya itu.

Vanessa yang menjadi Tracer dari Overwatch. Sumber Imej: StraitsTimes

Pencinta anime ini telah diperkenalkan dengan cosplay melalui rakan sekolahnya dan setelah menyelesaikan pendidikan peringkat ‘O’, dia mengambil kerja sepenuh masa di sebuah kedai disamping menjual cenderamata cosplay di Patreon, sebuah platform ‘crowdfunding‘ atas talian yang bertapak di Amerika Syarikat.

Vanessa yang dikenali sebagai Kiyo di dalam komuniti cosplay berkata dia boleh menjana pendapatan US$2,500 (RM10,520) sebulan melalui Patreon.

Dia yang berharap boleh meneruskan kerjaya ini untuk beberapa tahun yang akan datang, dan boleh mendapat tempat dalam industri game, muzik atau hiburan.

 

Menjadi Cosplayer Tidak Melibatkan Aktiviti Negatif/Seksual

Walau bagaimanapun, kedua-dua Vanessa dan Reg menegaskan bahawa tidak ada perkara yang tidak baik yang mereka lakukan sepanjang kerjaya menjadi cosplayer ini.

“Apabila saya beritahu orang bahawa saya bekerja sepenuh masa sebagai cosplayer, perkara pertama yang terlintas di fikiran orang pasti negatif dan berunsur seksual, walhal perkara itu sudah pasti tidak akan saya lakukan,” jelas Reg.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button