Isu SemasaTempatan

PDRM Mempunyai Bukti Kukuh Untuk Siasat LTTE

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai bukti kukuh untuk menjalankan siasatan ke atas kumpulan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) berdasarkan risikan yang telah dilakukan dalam jangka masa panjang sebelum ini.

Difahamkan, pihak polis baru-baru ini telah menahan tujuh individu, termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka berhubung penglibatan mereka dalam menyokong kumpulan berkenaan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hasil risikan polis mendapati bahawa terdapat bukti kukuh keganasan atau kemungkinan berlaku keganasan daripada gerakan kumpulan LTTE di Malaysia.

“Soal pokok bukan hanya kepada LTTE, sebaliknya daripada risikan polis terdapat elemen-elemen yang menunjukkan ada bentuk keganasan atau mungkin berlaku keganasan dalam siasatan LTTE,” katanya selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2019 sempena Sambutan Hari Jadi ke-81 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh.

Tegas Muhyiddin, LTTE masih lagi dianggap sebagai kumpulan pengganas walaupun ia telah diharamkan buat masa yang lama.

Tambah beliau, keputusan pihak polis untuk menjalankan siasatan terhadap kumpulan tersebut adalah berdasarkan risikan yang telah lama dilakukan kerana tidak mahu melihat ada kecederungan mana-mana pihak dalam negara atau luar negara terlibat dalam eleman-elemen keganasan.

“ Kita perlu banteras (keganasan) di peringkat awal lagi atau (mengambil) tindakan tegas berlandasakan undang-undang akan kita laksana…bagi saya Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bertindak atas dasar menjaga keselamatan negara berdasarkan peruntukan yang ada.

“Saya harap semua pihak faham kerana kita ingin memastikan negara ini sentiasa aman kerana elemen keganasan ini bukan bergantung kepada soal kaum, jika ada Daesh dalam kalangan orang Melayu dan Islam, kita juga akan ambil tindakan,”katanya.

 

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button