Isu SemasaTempatan

Bajet 2020 Adalah “Belanjawan Anak Muda”

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Lim Guan telah membentangkan Belanjawan 2020 bernilai RM297 bilion secara keseluruhan, dengan fokus utama untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan kuasa membeli dan bantuan kebajikan.

Ia juga menyasarkan matlamat jangka masa panjang yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Menerusi bajet ini, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) berhasrat untuk menangani isu-isu ekonomi yang sudah lama berlanjutan.

Berbilion Ringgit diperuntukkan kepada industri-industri utama, termasuk membuka akses kewangan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang merupakan kumpulan majikan terbesar negara mengikut sektor, sementara isu pekerjaan belia pula kini diberi perhatian khusus dari segi bantuan dan pembangunan kemahiran.

Sebagai contoh, sektor pendidikan menerima peruntukan sebanyak RM64.1 bilion dalam Belanjawan 2020, berbanfing RM60.2 bilion dalam bajet sebelum ini.

Keutamaan yang diberi terhadap sektor pendidikan ini mencerminkan matlamat jangka masa panjang PH dalam menjadikan Malaysia seperti Korea Selatan, di mana industri dan inovasi akan menjadi teras peralihan ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Lim ketika membentangkan bajet baru-baru ini berkata, RM5.9 bilion alan diperuntukkan kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), dalam usaha memperkukuhkan sinergi di antara sektor awam dan swasta.

Pentadbiran PH mempercayai bahawa TVET merupakan kunci kepada menyelesaikan masalah pengangguran, dan akan membantu mewujudkan peluang peketjaan, terutamanya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi yang pada masa ini masih mengalami kekurangan dari segi kemahiran.

“Di samping itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menerima peruntukan RM20 juta daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) bagi menggalakkan orang dewasa yang bekerja untuk menduduki peperiksaan sijil profesional dalam kursus-kursus berkaitan Industri 4.0,” katanya.

Sementara itu, pengangguran dalam kalangan graduan turut menyaksikan peningkatan sebanyak tiga kali ganda berbanding paras pengangguran kebangsaan dalam tempoh 5 tahun lalu, yang merekodkan purata lebih daripada 100,000.

Bank Negara Malaysia, dalam satu kenyataan pada tahun lepas berkata, ketidakpadanan kemahiran merupakan antara penyebab utama kepada masalah pengangguran itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah menyatakan bahawa kemahiran TVET adalah penting dalam menyediakan tenaga kerja muda untuk Industri 4.0.

Peruntukan kepada TVET bagi tahun 2020 adalah RM400 juta lebih banyak berbanding 2019.

Selepas Lim mengumumkan inisiatif tersebut, Ahli Parlimen Muar itu menerusi Twitter berkata bahawa kerajaan akan membelanjakan lebih daripada RM60 bilion untuk membantu belia mendapatkan pekerjaan.

Beliau turut menyifatkan Belanjawan 2020  sebagai “Belanjawan Anak Muda”, dan ia juga mencerminkan komitmen PH untuk membantu golongan itu.

Belia dilaporkan akan membentuk bahagian terbesar pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas PH menurunlan usia mengundi kepada 18 tahun.

 

Sumber: Malay Mail Online

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button