Isu SemasaTempatan

Sukar Untuk Turunkan Cukai Dan Naikkan Subsidi Secara Serentak – Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan pada Khamis berkata bahawa ia adalah satu perkara yang sukar untuk mengurangkan cukai rakyat dan pada masa yang sama meningkatkan subsidi.

Jelas beliau, mekanisme sedemikian bercanggah, memandangkan kedua-duanya harus diseimbangkan antara satu sama lain.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai respon kepada sentimen dan jangkaan rakyat berhubung Bajet 2020 yang akan dibentangkan di Parlimen pada hari ini.

“Saya baca di surat khabar bahawa rakyat inginkan cukai yang lebih rendah dan menaikkan subsidi. Kami tidak boleh beri cukai yang lebih rendah dan menaikkan subsidi.

“Perlu ada keseimbangan antara kedua-duanya. Kami cuba mengurangkan cukai, namun kerajaan mesti mempunyai wang.

“Jika nak beri subsidi, kerajaan perlu ada wang, jika turunkan terlalu rendah, kami tidak mempunyai wang dan tidak boleh memberi subsidi,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM 2019) Ke-10.

Menurut Dr Mahathir, memotong lebihan cukai akan menjejaskan tabung kerajaan, dan secara langsung akan memberi kesan terhadap jumlah subsidi yang akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa penyaluran program-program subsidi kerajaan kepada kumpulan yang lebih bersasar pada masa akan datang.

“Subsidi tidak diberikan kepada semua orang, ia mesti diberikan kepada kumpulan yang layak.

“Dalam kalangan B40 (kumpulan berpendapatan 40% terendah) sendiri terdapat mereka yang tidak memerlukan subsidi, dan kami akan mengkaji secara teliti siapa yang harus menerima subsidi daripada kerajaan,” katanya

Mengulas tentang cukai pula, Dr Mahathir menegaskan bahawa kerajaan akan mengenakan cukai yang lebih tinggi ke atas golongan kaya berbanding miskin, dan ini adalah prinsip di sebalik sistem percukaian di Malaysia.

 

Sumber: The Malaysian Reserve, Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button