AntarabangsaIsu Semasa

Kekayaan Golongan Terkaya China Meningkat Walaupun Berlaku Perang Dagang

Ahli-ahli perniagaan terkaya China dilaporkan semakin bertambah kaya pada tahun 2019 walaupun negara itu sedang mengalami kelembapan ekonomi selain daripada perang dagang bersama Amerika Syarikat.

Menurut Laporan Hurun yang mengikuti perkembangan hartawan di China, purata jumlah nilai bersih 1,800 individu terkaya di negara itu telah meningkat sebanyak 10% atau AS$1.4 bilion berbanding tahun 2018.

Jack Ma, yang bersara sebagai pengerusi gergasi e-dagang Alibaba, berada di tangga yang pertama buat kali kedua dengan jumlah nilai bersih sebanyak AS$39 bilion.

Ma Huateng, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tencent, iaitu sebuah syarikat permainan video dan media sosial, mendominasi tangga kedua dengan nilai kekayaan sebanyak AS$37 bilion.

Hasil laporan tersebut mencerminkan kepentingan pasaran pengguna China di tengah-tengah kenaikan Tarif AS yang memberi tamparan hebat kepada industri pembuatan.

Beberapa kekayaan ahli perniagaan yang tersenarai dalam Laporan Hurun daripada industri teknologi, farmasi, dan makanan menyaksikan peningkatan, manakala mereka yang dalam industri pembuatan pula merudum.

Difahamkan, terdapat 156 orang di dalam senarai itu yang berusia di bawah 40 tahun.

“Kekayaan tertumpu kepada mereka yang mampu mengadaptasi ekonomi digital,” kata Rupert Hoogewerf, pengasas dan ketua penyelidik laporan berkenaan, dalam satu kenyataan.

Berbeza dengan AS dan Eropah, di mana senarai individu-individu terkaya didominasi oleh kekayaan yang diwarisi, hampir semua orang dalam senarai China memperoleh kekayaan mereka dengan usaha sendiri.

Hoogewerf turut menyatakan bahawa ketika kajian itu bermula sejak dua dekad lalu, tanah besar China tidak mempunyai seorang pun bilionair.

Sumber: ABC News

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button