Sukan

Kenali Pemain Malaysia Pertama Yang Berjaya Bersama Kelab Liga Divisyen Satu Belgium

Pada bulan September yang lalu, penyerang muda negara Luqman Hakim Shamsudin sah bakal mengikat kontrak lima tahun bersama kelab Liga Divisyen Satu Belgium, K.V. Kortrijk.

Kontrak yang hanya akan termeterai pada bulan Mac tahun depan apabila Luqman berusia genap 18 tahun akan menyaksikan pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berlatih bersama Cardiff City bermula Januari 2020 sebelum menyertai pasukan Belgium tersebut.

Tan Sri Vincent Tan yang merupakan pemilik Kelab KV Kortrijk dan Cardiff City hadir dan memberikan kata nasihat kepada Luqman sewaktu Majlis Pengumuman Khas Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan.

“You (awak) berjaya atau tidak… terpulang kepada diri sendiri. Kami boleh sokong… pujuk… tapi yang mustahak awak sendiri mesti mau (hendak) berjaya.” kata Tan Sri Vincent yang dipetik oleh HarianMetro.

 

 

Mengapa Luqman Dipilih?

Menurutnya, Luqman dipilih selepas memperaga aksi menakjubkan dalam Kejuaraan B-18 Persekutuan Bolasepak ASEAN 2019 di Ho Chi Minh, Vietnam.

“Kita sudah menemui pemain Malaysia yang mampu beraksi di Eropah dan harap dia berjaya. Terpulang kepada Luqman. Mahu rajin, saya cakap tadi… rajin belajar bahasa Inggeris, rajin dalam latihan dan jangan sesekali mengaku kalah.

“Luqman bermain dengan cemerlang dan menjaringkan banyak gol. Dia juga konsisten dalam banyak perlawanan, saya fikir dia ada peluang,” katanya.

 

Sebagai Rakyat Malaysia Harus Menyokongnya

“Sebagai orang Malaysia, kita mesti menolong rakyat kita. Saya fikir ini kali pertama rakyat Malaysia dapat peluang ini. Tapi saya faham ramai pemain kita bermain di Jepun. Ini permulaan yang baik.

“Kami harap dapat membimbing, beri latihan dan galakan kepada Luqman untuk berjaya. Seperti saya kata di awal tadi, semua pihak termasuk yang mengetuai sukan di Malaysia mesti beri galakan kepada dia.

“Ada kala bersendirian di luar negara, kita rasa sepi dan rindukan tanah air. Orang muda perlu kuat dan saya fikir kami semua menyokong anda. Yang utama, terpulang kepada Luqman sendiri mahu berjaya atau tidak,” katanya.

 

Setelah Luqman Diharapkan Pemain Lain Boleh Mendapatkan Peluang Sama

Beliau berkata, pihaknya berharap bukan hanya Luqman, sebaliknya lebih ramai bakat bola sepak Malaysia dapat diketengahkan mewakili Kortrijk pada masa depan.

“Kita juga berharap bola sepak Malaysia dapat menyertai Piala Dunia dan mencapai ranking 70 dunia, jika tidak pemain kita tidak berpeluang bermain di United Kingdom, kecuali atas keadaan istimewa atau rayuan khas tetapi ia sukar.

“Secara peribadi saya gembira dapat membawa Luqman bermain di Eropah dan kami di Cardiff dan Kortrijk akan melakukan yang terbaik untuk menolongnya,” katanya.

 

Luqman Tidak Takut

Bagi Luqman yang lahir pada 5 Mac 2002, dia tidak takut untuk bermain di Eropah mahupun Belgium tetapi hanya perlu beradaptasi dengan kehidupan di sana.

Luqman yang merupakan pemain posisi serang keluaran Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (PPBN) sejak tahun 2014 juga berkongsi dengan TheStar bahawa dia akan mengambil kelas bahasa Inggeris serta bahasa Belgium sebelum meninggalkan tanah air.

“Saya tahu pemain di Eropah semuanya bersaiz lebih besar daripada saya tetapi saya akan bekerja keras dalam gim untuk membesarkan badan.. masih ada beberapa bulan lagi oleh itu tiada masalah tentang perkara ini. Saya hanya teruja dengan peluang yang diberikan,” kata Luqman yang berketinggian 170cm dan memiliki berat badan 59kg.

 

Luqman Turut Mendapat Perhatian Jepun

Sebelum dilamar kelab ini, terdapat pelbagai kelab yang juga telah menjengah aksi permainan Luqman di antaranya ialah kelab dari Jepun, Cerezo Osaka tetapi Luqman lebih memilih untuk bersama K.V Kortrijk.

K.V. Kortrijk dibeli oleh Tan Sri Vincent pada tahun 2015 dan memiliki jurulatih international Belgium, Yves Vanderhaegheare.

Kelab ini berada di tangga ke-11 daripada 16 pasukan dalam Liga Pro Belgium setelah 7 perlawanan.

Pencapaian tertinggi kelab tersebut ialah dengan mendapat tempat kedua dalam Belgian Cup pada tahun 2012.

Mereka juga pernah menjadi juata Beligium dalam divisi kedua pada musim 2007-2008.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button