Isu SemasaTempatan

Belia Memainkan Peranan Penting Dalam Pelaksanaan SDG

Bulan September lalu menandakan ulang tahun ke-4 Sidang Kemuncak Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di mana pemimpin-pemimpin dunia mewujudkan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi tahun 2030.

Delegasi Malaysia ke perhimpunan di New York, Amerika Syarikat (AS) itu diketuai oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dan memandangkan aktivis iklim muda Sweden, Greta Thunberg menyampaikan ucapan yang luar biasa kepada pemimpin-pemimpin dunia di sidang kemuncak iklim PBB di New York, cabaran global kepada alam sekitar dan pembangunan adalah relevan bagi kanak-kanak dan belia.

Difahamkan, terdapat 1.8 bilion orang di dunia yang berusia di antara 10 dan 24 tahun, iaitu generasi yang terbesar dalam sejarah.

Hampir 90% menetap di negara membangun, dan jumlah mereka dijangka akan meningkat lagi.

Kini dengan adanya teknologi tinggi, golongan muda dilihat ingin menyumbang kepada masyarakat, mencadangkan penyelesaian, memacu perkembangan sosial dan menginspirasikan perubahan.

Melabur dalam golongan muda juga penting untuk mengimplementasikan SDG, terutamanya di rantau Asia Pasifik yang didiami oleh kira-kira 700 juta orang belia, di mana 200 juta daripadanya adalah dari Asean.

Menurut Jabatan Statistik Negara, terdapat 14.6 juta rakyat Malaysia yang berumur di antara 15 dan 39 tahun, atau 45.4% daripada keseluruhan populasi negara itu.

Sementara itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia berkata bahawa anak-anak muda ini adalah harapan kita demi memastikan masa depan yang stabil untuk ekonomi yang berlandaskan tenaga kerja yang berkekalan dan pasaran yang besar untuk menyokong perniagaan-perniagaan.

Semua perniagaan, infrastruktur, sistem, dan dasar juga akan disokong, diguna, dijaga, dan dilaksanakan oleh para belia pada dekad-dekad yang akan datang.

Golongan inilah yang akan memulakan perniagaan, bekerja di kilang, membina rumah, membuat pinjaman, belajar, menjadi pelanggan bagi barang dan perkhidmatan, serta menjadi pemimpin.

Dengan kemahiran dan peluang untuk mencapai potensi diri mereka, belia akan memacu pembangunan dan menyumbang kepada keamanan dan keselamatan.

Kita juga perlu menggalakkan dan memperkasa anak muda untuk membantu dalam menterjemahkan SDG menjadi dasar di setiap peringkat, membantu mengimplementasi, memantau, dan mengkaji perkembangan, selain daripada memastikan akauntabiliti kerajaan.

PBB telah mengenal pasti peranan-peranan yang boleh dimainkan oleh generasi muda dalam melaksanakan SDG:

PEMIKIR KRITIKAL

Belia mempunyai kapasiti untuk mengenal pasti dan mencabar struktur kuasa dan halangan untuk berubah, dan untuk mendedahkan percanggahan dan prejudis.

PEMBAWA PERUBAHAN

Golongan muda juga mempunyai kuasa untuk bertindak dan menggerakkan orang lain.

Aktivisme belia menyaksikan kebangkitan di seluruh dunia, dikukuhkan lagi oleh akses yang luas terhadap media sosial.

“Ia adalah jelas bahawa, sebagai contoh, menangani perubahan iklim perlu melibatkan semua orang muda dan tua, kaya dan miskin, dari negara membangun dan negara maju,” menurut seorang komentator Eropah.

INOVATOR

Di sebalik membawa perspektif baru, generasi muda juga pada kebiasaannya mempunyai pengetahuan secara langsung dan pandangan tentang isu-isu yang gagal dilakukan oleh generasi yang lebih tua.

Mereka amat memahami masalah yang dihadapi dan boleh menawarkan idea baru serta penyelesaian alternatif.

Di sebuah forum tentang Belia dan SDG, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Miroslav Lajčák berkata:

“Sekiranya kita mengabaikan anak muda, kita tidak akan mencapai walaupun satu SDG.”

KOMUNIKATOR

Golongan muda perlu bekerjasama untuk menyampaikan agenda pembangunan dan kebimbangan mereka kepada rakan-rakan sebaya dan masyarakat di setiap peringkat.

Sama seperti kenyataan Thunberg pada 23 September lalu, sesiapa yang menyaksikannya tidak akan lupa dengan ucapan yang disampaikan oleh aktivis alam sekitar warga Kanada berusia 12 tahun, Severn Cullis-Suzuki di Sidang Kemuncak Bumi pada tahun 1992, yang menasihat dan menggesa semua orang untuk membantu menghentikan pemusnahan sumber bumi.

PEMIMPIN

Apabila generasi muda diperkasa dengan ilmu pengetahuan tentang hak mereka dan dilengkapi dengan kemahiran kepimpinan, mereka boleh memacu perubahan dalam komuniti dan negara.

Organisasi dan rangkaian yang dipimpin oleh belia perlu disokong dan diperkukuh, khususnya mereka yang terpinggir.

Tahap kesedaran tentang pembangunan lestari dalam kalangan belia Malaysia memadai, dan ini boleh dilihat pada aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh para pelajar universiti  dan organisasi belia kebangsaan, namun kita masih lagi belum melihat tahap aktivisme yang lebih tinggi seperti yang ditunjukkan oleh Thunberg, Severn Cullis-Suzuki, atau Malala Yousafzai.

Semoga para belia kita menjadi lebih lantang dalam meluahkan kebimbangan dan mereka, serta menyahut seruan untuk melibatkan diri dalam membentuk masa depan.

 

Sumber: NST – Zakri Abdul Hamid

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button