Isu SemasaTempatan

Bajet 2020 Perlu Terus Utamakan Sektor Pendidikan

Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GPMM) menzahirkan harapan kepada kerajaan untuk terus memberi keutamaan kepada pendidikan dengan meningkatkan lagi peruntukan bagi sektor tersebut dalam Bajet 2020 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Jumaat ini, 11 Oktober 2019.

Naib Presiden GPMM, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, peruntukan itu penting untuk bukan sahaja untuk memastikan agenda pendidikan terus diperkasakan, malah juga untuk meningkatkan keupayaan belia dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), demi melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi.

“Sebagaimana belanjawan lepas, kita mengharapkan kerajaan mempertimbangkan peruntukan yang lebih baik kepada rakyat khususnya dalam bidang pendidikan kerana kita tahu cabaran sekarang cukup hebat terutama dalam menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0)

“Jika boleh kita tidak mahu berlakunya pemotongan peruntukan dalam sektor ini kerana ia amat perlu untuk melaksanakan banyak perkara termasuk cadangan baharu penyediaan Program Sarapan Percuma (PSP) untuk kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa peruntukan itu juga diperlukan untuk kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah-sekolah daif terutamanya di kawasan luar bandar Pantai Timur dan di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Sementara itu,  Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata bahawa sektor pendidikan dalam era Industri 4.0 menuntut perubahan seiring dengan transformasi digital supaya dapat terus kekal berdaya saing memandangkan ia akan memberi kesan secara langsung kepada pasaran pekerjaan pada masa hadapan.

“Antara perkara yang diberikan perhatian serius ialah ruang kerjasama antara institusi pendidikan dan teknikal serta industri.

“Di peringkat pendidikan tinggi misalnya, ia berkisar kepada pembangunan bakat dan bidang teknologi baharu, digital dan kejuruteraan bertujuan mempersiapkan graduan untuk pasaran kerja dalam pengeluaran pintar,” ujar beliau.

Tambah Dr Wan Azhar, sokongan kerajaan terhadap pembangunan TVET dilihat agak konsisten memandangkan institusi yang mendominasi latihan kemahrian terus memperoleh peruntukan untuk melatih pekerja mahir dan separa mahir di peringkat sijil dan diploma.

Sokongan yang diberi oleh kerajaan termasuk memperkenalkan dana-dana tertentu, seperti Dana Wibawa Pendidikan TVET dan Program Bootcamp berkaitan TVET demi meningkatkan kompetensi golongan belia.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa peruntukan bagi pembangunan TVET, terutamanya yang membabitkan Jaringan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), termasuk UMP, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dan beberapa universiti lain harus terus diberi penekanan agar institusi-institusi berkenaan dapat meningkatkan kualiti pendidikan TVET dan melaksanakan penyelidikan untuk memenuhi keperluan industri.

Dr Wan Azhar turut berharap supaya Bajet 2020 dapat memberi lebih banyak geran untuk melatih bakal graduan dan menggalakkan pemindahan teknologi dari universiti kepada masyarakat.

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button