Isu SemasaTempatan

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030: Perkara Yang Anda Perlu Tahu

Pada Sabtu, 5 Oktober 2019, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

WKB2030 ini telah dirangka oleh Kementerian Hal Ehwal ekonomi dan Institut Masa Depan Negara.

Ia juga sudah dibentangkan di Kabinet pada 14 September 2019.

“Wawasan Kemakmuran Bersama dicadang dan dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Institut Masa Depan Malaysia (MASA) pada September 2018. Dan beberapa dasar umum telah saya perkenalkan dalam ucapan penggulungan Rancangan Malaysia ke- 11 pada 18 Oktober 2018.

“Konsep ini seterusnya dikembangkan dan diperdalami dan dibentangkan dalam pemukiman komponen parti Pakatan Harapan pada 9 Mac 2018 dan telah diterima secara prinsip. kata Dr Mahathir di dalam ucapannya ketika majlis pelancaran wawasan itu.

“Setelah dikemaskini, kerangka gagasan ini telah saya umumkan dalam ucapan ulang tahun Pakatan Harapan pada 9 Mei 2019,” kata Dr Mahathir di dalam ucapannya ketika majlis pelancaran wawasan itu.

 

APA ITU WKB 2030?

WKB2030 yang merupakan kelangsungan kepada Wawasan 2020, adalah pelan tindakan yang menggariskan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh tahun 2021 – 2030.

Definisi WKB2030 seperti yang tertera di laman sesawang Pejabat Perdana Menteri adalah “iltizam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama, dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah, dan rantaian bekalan.”

Wawasan ini bermatlamat untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada seluruh rakyat Malaysia menjelang tahun 2030.

APAKAH OBJEKTIF-OBJEKTIFNYA?

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 mempunyai tiga objektif utama iaitu:

1. Pembangunan Untuk Semua (Menstruktur Ekonomi)

Objektif yang pertama ini menyasarkan untuk melakukan penstrukturan semula ekonomi yang lebih progresif berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat.

2. Menangani Jurang Pendapatan dan Kekayaan (Menangani Ketidaksamaan)

Bagi objektif yang kedua, kerajaan akan menangani jurang ekonomi di antara kumpulan pendapatan, etnik, pembangunan, wilayah, dan rantaian bekalan untuk membela dan meningkatkan keupayaan semua rakyat agar tiada sesiapa yang ketinggalan. 

3. Negara Bersatu, Makmur, dan Bermaruah (Membina Negara)

Objektif yang ketiga memberi tumpuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu, makmur, dan bermaruah, dan seterusnya muncul sebagai paksi ekonomi Asia. 

Dalam pada itu, WKB 2030 turut memfokuskan tujuh teras utama seperti:

– Ekosistem perniagaan dan industri

– Aktiviti pertumbuhan ekonomi utama

– Modal insan

– Pasaran Buruh dan pampasan pekerja

– Kesejahteraan sosial

– Keterangkuman wilayah

– Modal sosial

JUSTIFIKASI WKB 2030

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dilaporkan ketinggalan berbanding Asia Timur susulan kebergantungannya terhadap eksport komoditi yang menyaksikan harga yang tidak stabil.

Tidak seperti ekonomi Asia Timur, penggunaan teknologi tinggi di Malaysia juga masih berada pada tahap yang rendah.

Negara juga sedang berdepan jurang pendapatan yang semakin luas di antara majikan dan pekerja, kelas, wilayah, dan kumpulan-kumpulan etnik.

Dalam pada itu, penyertaan golongan Bumiputera dalam sektor profesional, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan sumbangan pendapatan langsung dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dikatakan masih belum mencukupi.

Difahamkan sumbangan pendapatan Bumiputera terhadap KDNK, sekiranya tidak mengambil sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), hanya mencatatkan kadar 28% pada tahun 2014.

SELUAS MANA JURANG PENDAPATAN DI ANTARA KAUM DI MALAYSIA?

Melihat dari segi pendapatan penengah isi rumah di dalam negara, nisbah di antara Bumiputera dan kaum Cina adalah 0.74:1, manakala nisbah antara India dengan Cina pula adalah 0.81:1.

Oleh yang demikian, WKB2030 berhasrat untuk mengurangkan jurang berkenaan kepada hampir setara di antara ketiga-tiga kaum tersebut (0.9:1:1).

 

Sumber: Portal Pejabat Perdana Menteri Malaysia, MalaysiaKini, Astro Awani

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button