AntarabangsaIsu Semasa

PBB Akan Kehabisan Wang Pada Hujung Bulan Ini?

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan mengalami defisit berjumlah AS$230 juta (RM964 juta) dan dijangka akan kehabisan sumber kewangan pada hujung bulan ini.

Dalam sepucuk surat yang dihantar kepada 37,000 kakitangan di sekretariat PBB, Setiausaha Agung badan dunia itu, Antonio Guterres menyatakan bahawa “langkah penangguhan tambahan’ perlu diambil demi memastikan gaji dan hak mereka dibayar.

“Negara-negara anggota telah membayar hanya 70% daripada jumlah yang diperlukan untuk bajet operasi biasa kami pada tahun 2019.

“Perkara ini menyebabkan kekurangan wang tunai sebanyak AS$230 juta (RM964 juta) dan simpanan sokongan dijangka berkurangan menjelang akhir bulan,” kata Guterres.

Dalam usaha mengurangkan kos, beliau turut menyebut tentang beberapa langkah penjimatan yang akan diambil termasuk penangguhan persidangan dan mesyuarat, mengurangkan perkhidmatan, selain daripada mengehadkan perjalanan rasmi hanya untuk aktiviti-aktiviti penting sahaja.

Sementara itu, seorang pegawai yang enggan identitinya didedahkan, berkata bahawa Guterres pernah meminta negara-negara anggota PBB untuk meningkatkan lagi jumlah sumbangan mereka kepada badan dunia tersebut bagi menangani masalah aliran wang tunai, namun mereka enggan melakukan sedemikian.

“Tanggungjawab utama untuk kesihatan kewangan kami terletak pada negara-negara anggota,” jelas Guterres.

Tidak termasuk dana yang digunakan untuk melaksanakan misi pengaman, bajet operasi PBB bagi tahun 2018-2019 hampir mencecah AS$5.4 bilion (RM22.62 bilion).

Difahamkan, Amerika Syarikat (AS) menyumbang 22% daripada jumlah keseluruhan itu.

Sumber: The Hindustan Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button