Bisnes & Ekonomi

Wajarkah GST Diperkenalkan Semula?

Kesan terhadap rakyat dan harga barang, serta hasil kerajaan, adalah antara aspek penting yang perlu diambil perhatian dalam membuat keputusan sama ada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) perlu diperkenalkan semula.

Tidak kira betapa baik sistem cukai itu, ia dianggap satu kegagalan oleh pengguna jika ia menyebabkan harga barang dan perkhidmatan meningkat sehingga membebankan mereka, dan inilah yang berlaku ketika GST dilaksanakan sebelum ini, walaupun ia berjaya menaikkan hasil kerajaan.

Walau bagaimanapun, cadangan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) agar GST diperkenalkan semula pada kadar yang lebih rendah, iaitu pada kadar 3% dalam Bajet 2020, mungkin dilihat dari segi positif.

Timbalan presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata untuk mengubah persepsi terhadap GST adalah sukar kerana berdasarkan pengalaman sebelumnya, cukai itu mempunyai kesan negatif terhadap rakyat sehingga menyebabkan perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Pada pendapat saya, masalah (penolakan GST) berlaku kerana pelaksanaan cukai itu sendiri membebani rakyat (dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, terutama yang penting). Kadar sebelumnya pada 6% adalah tinggi.

“Sekiranya GST perlu diperkenalkan semula, kerajaan perlu menyusun semula kadar supaya tidak membebankan rakyat,” katanya kepada Bernama.

Mohd Yusof berkata jika kerajaan boleh memberi jaminan bahawa GST tidak akan membebankan rakyat bersama penjelasan yang kuat dan mengambil kira tahap kemampuan kumpulan B40, maka mungkin rakyat akan mengalu-alukannya.

Pada masa yang sama, beliau juga bersetuju dengan pengerusi MIER, Tan Sri Dr Kamal Salih bahawa pendapatan dari GST dapat membantu menutup defisit fiskal kerajaan apabila dibandingkan dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Mohd Yusof berkata antara kesan positif GST adalah bahawa mereka yang perlu membayar cukai tidak boleh lari kerana proses pendaftaran yang dikawal selia oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“GST mempunyai proses pendaftaran oleh Jabatan Kastam dan syarikat tidak boleh lari daripada membayar cukai yang dikenakan. Sekiranya kita melihat pendapatan dari GST dan SST, terdapat perbezaan yang jelas. Hasil daripada SST adalah RM22 bilion (setiap tahun), sementara bagi GST adalah RM41 bilion.

“Ia tidak dapat dinafikan bahawa pendapatan negara meningkat dengan pelaksanaan GST. Jika ia diperkenalkan semula, kerajaan perlu berhati-hati kerana terdapat orang tidak akan bersetuju dan ini boleh memberi kesan kepada kedudukan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata jika GST tidak menambah beban rakyat dan memberi manfaat kepada negara, ia adalah wajar untuk dilaksanakan semula.

Beliau berkata kerajaan perlu melakukan kajian menyeluruh dan telus jika ingin memperkenalkan semula cukai itu, khususnya mengenakan kadar yang lebih rendah berbanding enam peratus sebelumnya.

Menurut Nadzim, berdasarkan pengalaman sebelumnya, kerajaan terpaksa mengambil tindakan terhadap peniaga yang mengenakan caj yang lebih tinggi jika GST dilaksanakan.

“Ini adalah perkara yang membimbangkan orang. Sebagai contoh, sekiranya kadar GST diputuskan adalah empat peratus, tetapi peniaga menaikkan harga sehingga enam peratus menggunakan cukai sebagai alasan, ia akan menimbulkan kemarahan rakyat. Amaran tegas perlu dikeluarkan kepada peniaga,” katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini, menegaskan bahawa tiada keperluan untuk memperkenalkan semula GST, sebaliknya akan mengukuhkan lagi sistem SST yang sedang dilaksanakan.

Dr. Mahathir percaya, setelah SST ditambah baik dan semua pihak cekap dalam melaksanakan cukai tersebut, ia diyakini kadar kutipan cukai itu akan setanding dengan GST.
Beliau juga berkata, jika kerajaan terlalu kerap menukar sistem cukai negara, ia boleh menggugat keyakinan para pelabur terhadap Malaysia.
Terdahulu, Dr. Mahathir berkata kerajaan akan mengkaji semula GST jika itu kehendak rakyat sehingga menimbulkan pelbagai reaksi kononnya kerajaan mahu melaksanakan cukai itu semula selepas lebih setahun memansuhkannya.
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button