Isu SemasaPolitikTempatan

PRK Tanjung Piai: Peluang PH Untuk Menang Lebih Cerah Jika UMNO Bertanding?

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan pada Isnin, 7 Oktober 2019, secara sinis menzahirkan harapannya agar UMNO bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai kerana mempercayai bahawa ia akan ‘meningkatkan peluang’ Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi kerusi itu.

“Kita minta supaya mereka letak calon UMNO. Tolonglah supaya kita (PH) boleh menang,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan ‘faktor’ yang menyebabkan beliau yakin bahawa PH akan menang dengan lebih mudah sekiranya pihak pembangkang mempertaruhkan UMNO dalam PRK tersebut.

“Adalah faktor, tapi tak boleh diterangkan”, ujar beliau.

Sementara itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mengesahkan bahawa PH akan menampilkan calon daripada parti yang diterajuinya itu untuk bertanding.

“Ia telah dipersetujui bahawa calon (PH) adalah dari Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh 2 November untuk hari penamaan calon dan 12 November sebagai hari mengundi awal, manakala hari mengundi pula jatuh pada 16 November.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga memegang jawatan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Difahamkan, beliau yang merupakan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, meninggal dunia pada 21 September lalu akibat mengalami komplikasi jantung.

Ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada bulan Mei tahun lepas, beliau memenangi kerusi itu apabila menewaskan calon MCA, Wee Jeck Seng yang merupakan bekas penyandang Tanjung Piai, dan Nordin Othman daripada PAS, dengan meraih majoriti 524 undian.

Bagi Barisan Nasional (BN) pula, kerusi Tanjung Piai secara tradisinya diperuntukkan bagi MCA.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button