AntarabangsaIsu Semasa

Akibat Konflik Yang Tiada Penghujung, Kanak-Kanak Di Afghanistan Hanya Mampu ‘Mimpikan’ Keamanan

Konflik yang sudah berlanjutan selama 18 tahun di Afghanistan menyebabkan ramai anak muda di negara itu hanya terdedah dan tahu tentang peperangan sahaja.

“Keamanan adalah mimpi bagi kami di Afghanistan. Afghanistan hanya boleh membangun jika kita mencapai keamanan,” kata Mohammad Mobin, seorang pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun di Kabul.

Pada 7 Oktober, 2001, Amerika Syarikat (AS) telah melancarkan serangan udara ke atas Afghanistan, susulan tragedi 9/11 yang didakwa didalangi oleh Al-Qaeda.

Difahamkan, tragedi berdarah itu menyaksikan hampir 3,000 nyawa terkorban di AS.

Taliban, yang dilaporkan enggan menyerahkan pemimpinnya pada waktu itu, Osama Bin Laden, telah ditumpaskan dalam tempoh beberapa minggu sahaja sejak 9/11.

Walau bagaimanapun, perkara itu tidak menamatkan konflik di antara AS dan Afghanistan, malah berlanjutan sehingga ke hari ini, sekali gus menjadikannya peperangan yang paling lama dalam sejarah AS.

Peperangan ini turut menyaksikan keganasan yang semakin bertambah buruk di Afghanistan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di mana ia juga memberi kesan yang besar terhadap kanak-kanak.

“Sejak kami lahir, kami tidak mempunyai keamanan di negara kami, tetapi hanya pertempuran dan konflik,” luah Sayed Ibrahim, seorang pelajar perubatan berusia 18 tahun di Kabul.

Berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu lepas, penyelidik mendapati bahawa lebih daripada 14,000 kanak-kanak di seluruh Afghanistan telah mengalami pelbagai bentuk penindasan dari tahun 2015 sehingga 2018.

“Bayangkan apabila anda mencapai usia 18 tahun dengan tidak mengetahui apa-apa perkara kecuali konflik dan peperangan sepanjang zaman kanak-kanak dan waktu-waktu anda sedang membesar.

“Kehidupan di Afghanistan bermakna hidup dalam ketakutan setiap hari kerana letupan, tidak hadir ke sekolah kerana keadaan amat tidak selamat, dan tidak mengetahui sama ada ibu bapa atau adik-beradik akan pulang ke rumah,” jelas Onno van Manen, pengarah Save the Children in Afghanistan.

Menurut Tabung Pelarian Kanak-Kanak PBB (UNICEF), jumlah serangan ke atas sekolah-sekolah di Afghanistan telah meningkat sebanyak tiga kali ganda pada tahun lepas berbanding 2017.

Pada akhir 2018 pula, lebih daripada 1,000 sekolah terpaksa ditutup disebabkan konflik yang masih tiada penghujung itu.

“Saya bersekolah kerana saya tidak mempunyai wang, saya perlu mencari wang untuk membantu keluarga saya,” ujar Sabir, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang melarikan diri dari tempat asalnya di Ghazni.

Sabir kin menjual kacang, biji benih matahari, dan buah-buahan kering di Kabul.

“Kita perlu pergi ke sekolah dan mendapatkan pendidikan. Kita boleh tamatkan peperangan ini menerusi pendidikan,” tegasnya.

Sumber: Channel News Asia

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button